[VIDEO] Trend 'Seribu Tahun TTC' ubati duka, karya Imran Ajmain meruntun hati pasangan menanti zuriat


  • Hiburan
  • Selasa, 15 Apr 2025

Imran Ajmain tersentuh apabila lagunya, Seribu Tahun menjadi pengubat duka pasangan yang berjuang mendapatkan zuriat.

SETIAP pasangan suami isteri mengimpikan sebuah keluarga bahagia di samping cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga.

Merupakan antara rahsia tuhan yang tidak diketahui, impian bergelar ibu dan ayah sentiasa menjadi penantian istimewa walaupun perlu sabar menanti ibarat 1,000 tahun lamanya.

Situasi itu lebih dirasai pasangan dengan terma Trying-To-Conceive ataupun (TTC) yang sudah sekian lama berjuang mendapatkan anak dalam tempoh perkahwinan yang agak panjang.

BACA LAGI: [VIDEO] Gajet bantu Aafiyah kuasai bahasa Inggeris, Siti Nurhaliza kawal, tetapkan sejam sehari saja

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan bawa anak keluar 'shopping', mesti pakai bengkung', Nona Roguy kongsi 3 petua tradisional buat ibu berpantang

Seiring kemajuan teknologi, kemahuan golongan berkenaan untuk menggambarkan anak di pangkuan sedikit terubat apabila mampu mencipta bayangan keluarga impian menerusi kemudahan kecerdasan buatan (AI).

Di TikTok, trend 'Seribu Tahun TTC' menjadi ikutan dalam kalangan pejuang 'dua garis' di luar sana yang masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata.

Diambil daripada lagu ciptaan penyanyi terkenal, Imran Ajmain berjudul Seribu Tahun, trend tersebut nyata menyentuh hati ramai orang lebih-lebih lagi pasangan yang menghadapi serupa.

Imran Ajmain, 43, perkara tersebut disifatkan cukup menyayat hati dan dia tersentuh dengan segala perkongsian warga maya berhubung perkara tersebut.

Biarpun karya itu asalnya tidak ditujukan kepada golongan berkenaan, namun penyanyi asal Singapura tersebut terbuka untuk mendedikasikan lagunya khusus buat mereka yang menanti keajaiban.

"Saya dapat tahu terma TTC daripada trend ini. Mereka menggunakan lagu saya Seribu Tahun Lagi dan mengaitkan kisah watak yang dimainkan oleh pelakon Noorkhiriah dalam drama Seribu Tahun. Dari situ saya belajar TTC tu adalah Trying To Conceive.

"Rupa-rupanya ada ramai orang yang melalui detik sukar, sukarnya tidak dapat menghasilkan zuriat dengan apa juga asbab.

"Lagi perih apabila soalan lazim yang selalu ditanyakan masa bulan raya ini adalah bila nak ada anak?

"Ini bukan tempat saya dan ia tak kena mengena dan saya tak dapat nak kaitkan, tetapi disebabkan lagu dan drama tersebut, saya tersentuh lah sebenarnya.

"Saya bersimpati kepada mereka yang mencuba dan tiada berhasil. Saya doakan akan ada cahayanya atau akan ada keredaannya, keep fighting ya ibu-ibu dan ayah-ayah di luar sana yang sedang TTC," katanya menerusi hantaran video di TikTok.

Merupakan lagu OST bagi drama Seribu Tahun yang sedang hangat ditayangkan ketika ini, kisah menyayat hati lakonan Noor Khiriah dan Azhan Rani turut menyentuh isu anak yang menjadi topik utama masyarakat kebelakangan ini. 

Menyedari hal itu, Imran turut berkongsi bahawa dirinya kini mengamalkan doa daripada Surah Al-Imran, yang sering menjadi amalan buat pasangan yang menginginkan zuriat.

"Saya tak sangka watak Noorkhiriah dalam Seribu Tahun yang tak dapat mengandung memberi kesan kepada ramai wanita di luar sana.

"Saya belajar banyak hari ini hanya kerana mereka guna lagu saya. Lepas satu-satu saya baca, sampai saya sendiri belajar doa yang biasa dibaca oleh mereka yang inginkan anak, iaitu dari Surah Al-Imran ayat 38.

"Perjalanan muzik saya dan perjalanan ‘dua garis’ kamu bertemu di TikTok. Sama-sama kita doakan ya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram