[VIDEO] Tak kisah 'bersilat' di dapur, Wanna gemar jamu suami makan, rahsia ikat kasih sayang keluarga


  • Relaks
  • Selasa, 22 Apr 2025

Wanna semakin selesa menggalas peranan sebagai isteri, malah memasak kini menjadi salah satu cara untuk menunjukkan kasih sayang kepada suami tercinta.

"DULU curfew saya pukul 12 malam. Sekarang apabila dah berkahwin, saya sendiri rasa nak balik awal sebab suami menanti di rumah."

Demikian luahan pelakon, Wanna Ali yang bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Khairul Amri Khalid sejak 9 Februari lepas. 

Anak kepada penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh itu mengakui kehidupan selepas mendirikan rumah tangga banyak mengubah rutin harian dan memberi kesedaran baharu dalam dirinya sebagai seorang isteri.

“Saya memang ambil masa untuk menyesuaikan diri. Sebelum kahwin, tinggal bersama ibu.

"Keluar rumah pun tak selalu. Tetapi sekarang, jika sudah keluar pada waktu pagi, malam saya lebih selesa berada di rumah. Saya anggap waktu maghrib itu curfew sekarang,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Saya sendiri sebagai ibu dapat rasakan', Sesal alunan Siti Nurhaliza singkap penderitaan hilang anak perempuan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sejuk perut ibu mengandung', warganet puji anak kecil bijak berselawat, sifatkan ibu bapa lain wajar contohi

Lebih istimewa, Wanna atau nama sebenar, Norsyazwana Mohd Ali mengakui dirinya semakin selesa menggalas peranan sebagai isteri, malah memasak kini menjadi salah satu cara untuk menunjukkan kasih sayang kepada suami tercinta.

"Saya rasa saya dah jadi cef terhebat sekarang," selorohnya.

Ujar pelakon yang popular menerusi drama Lelaki Melayu Terakhir itu, suami gemar menikmati juadah hasil air tangannya.

"Sebelum raya lagi saya dah cuba masak rendang dan ayam masak merah. Suami pun minat betul kalau saya masak cekodok pisang. 

"Apabila dia puji sedap, saya rasa sangat dihargai. Masak pun jadi satu terapi dan cara untuk menghangatkan hubungan rumah tangga," katanya.

Tambah Wanna, sambutan Aidilfitri tahun ini menjadi detik yang sangat bermakna kerana buat pertama kali dia meraikan Syawal bersama keluarga mentua di Kuala Lumpur.

“Selama 27 tahun, setiap kali raya memang balik kampung sebelah ibu di Negeri Sembilan. Tetapi tahun ini, saya beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga suami. 

"Yang bestnya, keluarga saya pun turut beraya sekali.

"Alhamdulillah, keluarga saya dan mentua sangat rapat, jadi suasana raya tetap meriah walaupun di tempat berbeza," katanya.

Ditanya mengenai tradisi pagi raya, pelakon filem Autumn in Wales itu tersenyum mengimbau kenangan penuh emosi bersama keluarganya.

“Keluarga saya memang jenis emosional. Waktu pagi raya, mesti ada momen mengalir air mata. Solekan pun biasa-biasa dulu. Hanya pakai base sebab waktu beraya, pasti menangis.

"Dah sudah bersalam-salaman, barulah touch up solekan untuk bergambar. 

"Kali ini, apabila beraya dengan keluarga mentua, suasananya lebih santai dan relaks. Salam raya pun cool sahaja, tiada momen air mata,” katanya.

Namun, apa yang lebih menggembirakan Wanna ialah kemesraan yang terjalin antara dua keluarga, sekali gus membuatkan transisi hidup sebagai seorang isteri dan menantu terasa lebih mudah.

“Tak ada isu nak balik kampung siapa. Semuanya mudah sebab dua-dua keluarga tinggal di Kuala Lumpur.

"Raya kali ini terasa sangat tenang dan penuh makna. Syukur Alhamdulillah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram