Stigma 'alam rumah tangga menakutkan', 5 wanita sangkal persepsi dangkal


  • Relaks
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Pasangan yang banyak memberi dorongan dan memahami menjadikan rumah tangga lebih bahagia. — Gambar hiasan/Freepik

JIKA menjengah di media sosial, ramai berkongsi pengalaman peribadi, tidak kira sisi positif mahupun negatif.

Namun, apabila terlalu banyak kisah pahit tentang institusi perkahwinan disuarakan, ramai anak muda mula melihat perkahwinan sebagai sesuatu yang menakutkan dan penuh tekanan.

Ketakutan terhadap pasangan toksik, beban emosi serta kehilangan kebebasan sering kali menjadi alasan utama golongan muda mengambil keputusan untuk mengelak diri daripada komitmen jangka panjang ini.

BACA LAGI: Ibarat tatang bayi, jangan abai tanggungjawab jaga ibu bapa lanjut usia selagi masih bernyawa

BACA LAGI: 'Hidup mummy indah, kuat sebab Isya', Azza terharu anak perempuan tamat sekolah, kini fokus sambung ijazah

 

Tidak semua alam rumah tangga indah, tetapi pasangan perlu saling tolak ansur untuk mencapai kebersamaan. — Gambar hiasan/Freepik

Pun begitu, di sebalik cakap-cakap itu, ramai juga individu yang menemui kebahagiaan dalam kehidupan rumah tangga.

Sehubungan itu, Majoriti menemu bual ringkas bersama lima wanita yang sudah bergelar isteri bagi mendapatkan perkongsian mengenai detik yang membuatkan mereka menganggap perkahwinan sebenarnya sangat bahagia.

Bagi Suraya Borhan, beliau merasakan perkahwinan itu membahagiakan apabila terdapat kebersamaan yang serasi dalam apa jua yang dilakukan selain suami sebagai tempat untuk mengadu masalah.

"Seronok berkahwin sebab ada orang tersayang di rumah menunggu kepulangan. Kalau saya ada masalah di luar, saya suks berkongsi dengan dia sebab saya rasa suami adalah individu yang saya percaya.

"Walaupun minat dia dan minat kita berbeza, tetapi tak apalah. Sokong minat sama-sama," ujar beliau yang juga penyampai radio Suria FM.

Beliau turut berpesan kepada golongan anak muda untuk elak terlalu memikir soal mencari kesempurnaan dalam diri bakal pasangan, sebaliknya refleksi diri sendiri.

"Jangan sibuk nak cari sesuatu yang sempurna sebab kita pun tak sempurna. Ketidaksempurnaan itu yang akan menyempurnakan dalam perkahwinan," jelasnya.

Beliau juga menyentuh mengenai kehidupan ketika di hari tua nanti.

"Jangan takut kahwin sebab kalau saya, saya takut juga hidup bujang. Mungkin waktu kita kerja, kita seronok ada kawan-kawan, tetapi apabila kita dah pencen nanti, mak ayah kita mungkin dah meninggalkan kita, adik-beradik dah ada kehidupan sendiri, jadi tinggallah keseorangan," tambahnya.

Seperti Suraya, Teh Athira Yusof juga merasakan detik paling membahagiakan apabila suaminya memberikan banyak dorongan dan sokongan ketika beliau menghadapi masalah.

"Detik yang membuatkan saya buat pilihan terbaik ialah ketika saya berdepan isu kerja. Dia banyak memberi saya sokongan dan dorongan.

"Dia tidak terus memberikan penyelesaian, sebaliknya melontarkan idea-idea lain. Ketika itu saya rasa dihormati kerana masalah saya tidak disisihkan," kongsi Teh.

Sementara itu, Nur Asharah Kamarul Khisham berkata, sesebuah rumah tangga itu indah jika pasangan bertolak-ansur dan mementingkan komunikasi.

Beliau berkongsi mengenai momen peribadinya ketika dalam fasa bersalin yang sehingga kini masih segar dalam ingatannya.

"Saya bersalin pada bulan Ramadan. Suami saya sediakan semuanya meskipun dia mengalami demam panas," katanya sambil menambah, sehingga kini suaminya masih menyediakan bekal makanan untuknya.

Bagi Sharah, itu adalah sekecil-kecil perkara yang memberi kesan besar.

Bagi Razziah Abdul Rashid pula, mempunyai minat sama dengan pasangannya disifatkan sebagai momen bermakna.

"Kami bertemu sebab sama minat. Best sebab ada hobi yang sama, jadi kalau meluangkan masa rasa seronok," katanya.

Berbeza dengan Razziah, Nurul Amni Mat Ariffin yang tidak berkongsi minat sama dengan suaminya pula gemar untuk melancong.

Kata beliau, suaminya tidak hanya memahami minat beliau, malah tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa meskipun sewaktu ketiadaan beliau.

"Suami saya tak kisah kalau saya nak travel dekat ke jauh. Apabila saya tiada, dia yang menguruskan anak-anak," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram