'Diusir' dari dapur, 'dipaksa' tidur balik, ibu mentua dari syurga boleh jadi teman bukan lawan


  • Relaks
  • Khamis, 17 Apr 2025

Memberi hadiah boleh menjadi simbol penghargaan atas kebaikan yang dilakukan ibu mentua.

BERGELAR isteri pasti ada rasa debaran apabila berdepan dengan ibu mentua, lebih-lebih lagi buat wanita yang baru melangkah ke alam perkahwinan.

Mana tidaknya, sebut sahaja ‘ibu mentua’, pasti terlintas dalam fikiran ramai tentang watak tegas, cerewet atau tidak 'sebulu'. Namun, realitinya tidak selalunya begitu.

Baru-baru ini, satu hantaran di Threads mendapat perhatian khususnya dalam kalangan wanita bergelar menantu apabila seorang pengguna berkongsi pengalaman dilayan bak ‘permaisuri’ ketika tinggal bersama ibu mentua selama dua tahun.

BACA LAGI: Pernah tidur berlapar ketika di bangku sekolah, guru kenang jasa Pak Lah wujudkan SABK

BACA LAGI: Pelumba wanita Bangladesh pertama di litar antarabangsa, keberanian Purny Ayman inspirasi kaum hawa

 

 

“Dua tahun pertama berkahwin, saya duduk dengan ibu mentua. Dia minta saya tidur semula apabila bangun awal pagi hujung minggu. Saya sebagai menantu hanya ikut arahan,” tulisnya sambil berseloroh.

Susulan hantaran itu, warga maya lain turut berkongsi pengalaman sama.

"Memang kalau nak buat kerja kena sorok-sorok sebab anak lelaki dalam keluarga mentua diajar untuk buat kerja rumah. Kerja saya lipat baju sahaja.

"Saya ada dua orang anak kecil, kadangkala ibu mentua ambil mereka dan suruh saya luangkan masa dengan sepupu sebelah suami," kongsi @n0tyourb4by_ yang sudah duduk bersama ibu mentua selama empat tahun.

Lebih menarik, ada yang 'diusir' dari dapur hanya kerana ibu mentua mahu menantu untuk berehat.

"Apabila saya pulang ke kampung, mesti ibu mentua halau saya dari dapur dan minta saya berehat. Kerja saya di rumah hanyalah uruskan pakaian sendiri," kata @cikkyanie.

Pengalaman manis turut dikongsi oleh @atuldomarang yang menghargai sokongan ibu mentua sewaktu melalui fasa kehamilan dan selepas bersalin.

“Ibu mentua banyak tolong saya semasa mengandung. Selepas melahirkan, dia jaga bayi sampai satu tahap saya rasa janggal sebab dia asyik suruh saya rehat,” ceritanya.

Dalam pada itu, seorang wanita berusia 60 tahun berkongsi pandangannya sebagai ibu mentua.

"Seronok dan beruntungnya. Dahulu saya tiada peluang untuk bersantai-santai, tetapi saya dapat belajar memasak disebabkan dia," katanya @nrzalinaza sambil menambah bahawa dia juga mahu menampilkan sisi baik sebagai ibu mentua kepada menantu.

Pengalaman-pengalaan yang dikongsikan itu jelas membuktikan bahawa kasih sayang, saling memahami dan rasa hormat mampu mencipta keharmonian walaupun tinggal sebumbung. 

Tiada istilah 'mentua cerewet' jika kedua-dua pihak sedia membuka hati, kerana kadang-kadang, ibu mentua juga hanya mahu menjadi teman, bukan lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram