
SEMPENA ulang tahun ke-53, pelakon terkenal Hollywood, Jennifer Garner tampil dengan inisiatif mulia apabila berikrar untuk berlari sejauh satu batu (kira-kira 1.6 kilometer) setiap hari selama 67 hari bagi membantu kanak-kanak yang mengalami kebuluran di seluruh dunia.
Bintang filem 13 Going On 30 itu berkongsi komitmen 'one mile a day' itu melalui media sosial sehari selepas menyambut hari lahirnya pada 18 April lalu.
Dalam perkongsian tersebut, Garner memaklumkan bahawa beliau sekali lagi bekerjasama dengan organisasi kebajikan antarabangsa, Save the Children bagi menyediakan keperluan asas kepada kanak-kanak yang terjejas akibat krisis kebuluran global.
BACA LAGI: 'Saya hanya mahu dia hidup', rintih ibu di Gaza tak sanggup lihat anak tanggung seksa kelaparan
BACA LAGI: Zaman kanak-kanak boleh bawa trauma berpanjangan hingga dewasa
"Selamat hari jadi buat saya! Sempena melangkah ke usia baharu, saya rasa terdorong untuk melakukan sesuatu, iaitu benar-benar turun padang demi anak-anak memerlukan," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.
Garner turut menyuarakan kebimbangan terhadap statistik dunia yang menyaksikan berjuta kanak-kanak sedang menderita akibat kekurangan zat makanan.
Sementara seramai 16,000 kanak-kanak lagi berada dalam risiko kematian akibat punca-punca yang boleh dicegah.
"Saya rasa sangat tidak berdaya dengan krisis kebuluran global. Saya bertuah kerana diberi peluang untuk memberi kepada golongan memerlukan.
"Sudah 16 tahun juga saya menjadi duta dan pemegang amanah Save the Children, sebuah organisasi yang benar-benar dipercayai," ujarnya.
Sebagai ibu, Garner mengakui tidak sanggup membayangkan anak-anak sendiri kelaparan sebelum tidur. — Agensi
Bukan aktiviti kegemaran
Menurutnya, hanya AS$67 (sekitar RM300) diperlukan untuk membekalkan makanan terapeutik siap diguna (RUTF) selama enam minggu.
Ia cukup untuk menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak dan memberi mereka peluang hidup sihat dan membesar dengan normal.
"Walaupun ini bukan aktiviti kegemaran, saya akan berlari satu batu sehari selama 67 hari akan datang.
"Sama ada anda mahu berjalan, berbasikal, merangkak atau menunggang papan selaju, lakukanlah demi anak-anak ini. Tag kami di #67Strong4Kids jika anda turut serta," pintanya.
Garner turut mengajak orang ramai menyumbang dengan nilai serendah AS$6.70 (RM30), AS$16.70 (RM74) atau AS$67 (RM300) melalui pautan yang disediakan dalam biografi akaun media sosialnya, jennifer.garner.
Sebagai ibu kepada tiga anak, Violet (19), Seraphina (16) dan Samuel (13), hasil perkahwinan terdahulu dengan Ben Affleck, pelakon itu mengakui dirinya tidak sanggup membayangkan anak-anak sendiri kelaparan sebelum tidur.
"Kalau anak lapar waktu kecil, mereka pasti dapat pujuk saya beri snek sebelum tidur.
"Namun apabila saya fikirkan 16,000 anak di dunia ini tidak ada pilihan dan mungkin mati kerana kelaparan, saya tak boleh tidur malam.
"Itu yang mendorong saya untuk melakukan sesuatu," jelas beliau.
Garner menutup perkongsiannya dengan harapan agar usahanya dapat meningkatkan kesedaran dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Misi kemanusiaannya kini sedang berlangsung hingga 22 Jun depan dan beliau berharap lebih ramai akan menyahut cabaran #67Strong4Kids. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram