Miskin melampau antara punca bayi berhenti menyusu


  • Benua
  • Rabu, 01 Sep 2021

BAYI di Kenya juga berisiko gemuk kerana berkemungkinan susu digantikan dengan bahan-bahan yang tinggi lemak. — Agensi

MESKIPUN negara di Afrika Timur Kenya mempunyai tahap penyusuan yang sihat pada peringkat awal, kadarnya menurun secara mendadak kepada 84 peratus bagi bayi berusia 0 hingga satu bulan serta 42 peratus bagi bayi berusia empat hingga lima bulan.

Ketua Unit Kesejahteraan Ibu dan Anak di Pusat Penyelidikan Kesihatan Penduduk Afrika (APHRC), Elizabeth Kimani menjangkakan bahawa terdapat kemungkinan morbiditi lebih tinggi sekiranya bayi tidak tidak diberi susu ibu selama enam bulan pertama.

"Ada juga risiko kegemukan kerana mungkin susu digantikan dengan bahan-bahan yang tinggi lemak. Malah, terdapat juga masalah asma dan penyakit lain kerana susu ibu sememangnya melindungi perkara seperti itu,” katanya.

APHRC berkata, sikap tidak ambil peduli adalah penyebab utama kekurangan susu ibu terutama di kawasan bandar selain faktor sosio-budaya.

Sementara itu, pakar pediatrik, Dr. Dorcas Lealo berkata, kemiskinan melampau juga memaksa ibu berhenti menyusukan anak.

“Sebilangan besar penduduk di luar bandar hidup dalam kemiskinan. Ibu-ibu tidak mempunyai makanan mencukupi untuk menghasilkan susu. Saya telah melihat para ibu terpaksa melakukan kerja berat namun hanya memperoleh kurang dari AS$2 (RM8.45) sehari.

“Mereka menghabiskan masa sepanjang hari mencuci pakaian, mengambil air atau menyiapkan kerja rumah, “ katanya.

Pakar berkata, campur tangan diperlukan bagi menyokong ibu miskin di bandar Kenya untuk menyusukan anak secara optimum.

Kerajaan Kenya telah menyediakan beberapa inisiatif temasuk melancarkan Program Penjagaan Bersalin Percuma, bertujuan meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu, bayi yang baru lahir dan anak-anak ke arah pencapaian Wawasan 2030 Kenya dan agenda Pembangunan Lestari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kenya, susu, bayi