
TINDAKAN seorang lelaki menggendong ibunya ketika menunaikan ibadah tawaf di kawasan Kaabah menyentuh hati jutaan warga maya yang menyaksikan rakaman tersebut.
Dikenali sebagai Zainal Abidin, 43, kedua-dua ibu dan anak itu berasal dari Desa Tambakrejo, Kecamatan Kraton, Kabupaten Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia.
Gelagatnya menggendong si ibu sempat dirakam sebelum dimuat naik menerusi akaun TikTok milik abangnya, @ojinvonito77 dan menjadi tular.
Menurut Zainal yang mesra disapa Ebit, dia sebenarnya berhasrat untuk menunaikan umrah sejak 2019, namun perancangan itu terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Ujarnya, setelah keadaan kembali stabil pada 2023, dia sekali lagi menyimpan niat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Malangnya ketika itu, ibunya, Umi Hanik yang berusia 80 tahun terlantar sakit dan tidak mampu menyertai perjalanan tersebut.
"Saya masih pergi umrah seorang diri tetapi berikrar, sekiranya ibu sembuh, saya akan kembali menunaikan umrah bersama-sama," katanya.
Hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan pada 5 April 2025, apabila Zainal berangkat menunaikan umrah sekali lagi dan kali ini bersama ibu tersayang.
Walaupun kesihatan masih belum pulih sepenuhnya, ibunya tetap bertegas mahu menunaikan tawaf.
"Ibu ingin melakukan Rukun Yamani dan menyentuh Multazam, tapi kerana tidak boleh berjalan dan tidak dibenarkan menaiki kerusi roda semasa tawaf, saya tergerak hati untuk menggendongnya," jelas Zainal penuh emosi.
Sepanjang empat hari di Makkah, Zainal telah menggendong ibunya mengelilingi Kaabah sebanyak dua kali.
Akibat keletihan melampau, dia terpaksa menerima rawatan di hospital sejurus selepas itu. Namun segala pengorbanan itu dianggap satu keberkatan.
"Sebanyak mana pun kebaikan seorang anak, ia takkan pernah menandingi kasih seorang ibu. Saya bersyukur kerana dapat tunaikan nazar ini," luahnya.
Zainal, anak kedua kepada pasangan H. Hanafi dan Umi bekerja sebagai setiausaha kampung di Tambakrejo dan turut menternak kambing sebagai sumber pendapatan tambahan.
Sekembalinya dari Tanah Suci, dia dan ibunya diundang sebagai tetamu jemputan dalam sebuah rancangan televisyen nasional pada Rabu lalu.
"Saya baru pulang dari Jakarta. Saya hanya ingin berkongsi kisah dan mengingatkan orang ramai tentang pentingnya menghormati ibu bapa," ujarnya.
Menurut abangnya, Mukhamad Khozin yang memuat naik video berkenaan, mereka kini turut menerima jemputan menghadiri rancangan audio siar bersama Deddy Corbuzier serta undangan khas daripada Kementerian Agama Indonesia.
"Ibu baru balik dari Jakarta. Minggu depan ada dua agenda lagi. Kami masih perlu jaga kesihatannya," kata Khozin.
Kisah Zainal dan ibunya bukan sahaja mengangkat nilai pengorbanan seorang anak, malah menjadi simbol kasih sayang dan keteguhan niat dalam mencari keberkatan hidup. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram