Jadi mangsa gangguan seksual, kemurungan, pengasas aplikasi 'dating' bangkit, kini bilionair wanita termuda dunia


  • Benua
  • Sabtu, 19 Apr 2025

Whitney terus komited memperkasa wanita, bukan sahaja dalam dunia perniagaan, tetapi juga dalam kehidupan seharian. — Agensi

KETIKA baru mencecah usia 31 tahun, Whitney Wolfe Herd sudah mencipta sejarah sebagai wanita termuda dunia yang membina kekayaan sendiri dengan status bilionair.

Namun perjalanan ke puncak kejayaan itu tidak mudah, ia penuh dengan ranjau, cabaran dan kontroversi.

Pada 2021, beliau menjadi wanita pertama dan termuda yang berjaya membawa syarikatnya, Bumble disenaraikan dalam pasaran saham Amerika Syarikat (AS), sambil memangku anak lelakinya yang ketika itu berusia 18 bulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Idea ditolak ratusan pelabur, produk dianggap tiada masa depan, nilai kekayaan pengasas Canva kini cecah RM19.81 bilion

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat

Pengasas Aplikasi Bumble, Whitney (kanan) dan Andrey. — Agensi

Sejak itu, pengasas aplikasi janji temu popular itu tidak menoleh ke belakang, malah terus memahat namanya sebagai antara usahawan wanita paling berpengaruh di dunia.

Whitney, 36, mengasaskan Bumble pada Disember 2014 bersama bilionair Rusia, Andrey Andreev yang juga pengasas aplikasi Badoo.

Bumble tampil berbeza dengan memberi kuasa kepada wanita untuk memulakan perbualan, tidak kira dalam konteks cinta, persahabatan ataupun perniagaan.

Ia satu langkah berani menentang norma janji temu tradisional yang lapuk.

Mengambil inspirasi daripada pengalaman peribadi yang pahit dalam hubungan dan dinamika tidak seimbang, Whitney menyuarakan perspektifnya kepada pelabur.

“Saya telah mengalami sendiri bagaimana hubungan yang tidak adil boleh menjejaskan seluruh aspek kehidupan. Saya mahu mengubahnya,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada hubungannya dengan bekas rakan pengasas aplikasi Tinder merangkap bekas teman lelakinya, Justin Mateen.

Enggan menoleh ke belakang, Whitney terus memahat nama sebagai antara usahawan wanita paling berpengaruh di dunia. — Agensi

Gangguan seksual

Pada 2014, ketika Tinder berkembang pesat, Whitney meninggalkan syarikat tersebut dan memfailkan saman terhadapnya atas dakwaan gangguan seksual dan diskriminasi jantina.

Dakwaan tersebut termasuk penghinaan lisan, pengabaian aduan oleh pengurusan atasan dan penarikan gelaran pengasas bersama hanya kerana beliau seorang wanita.

Syarikat induk Tinder, Match Group akhirnya menyelesaikan pertikaian itu di luar mahkamah dengan bayaran kira-kira USD1 juta (RM4.4 juta), meskipun menafikan sebarang salah laku.

Trauma pengalaman tersebut memberi kesan mendalam kepada Whitney, yang mengakui pernah berkurung di rumah selama tiga minggu akibat kemurungan.

Namun dengan sokongan suaminya, pewaris perniagaan minyak Texas, Michael Herd dan rakan pengasas Bumble, Andrey Andreev, wanita itu kembali bangkit.

Menurut laporan, idea untuk Bumble mula dirancang di Mykonos pada musim panas 2014 bersama beberapa bekas kakitangan Tinder.

Whitney berjaya membawa Bumble disenaraikan di pasaran saham AS, sambil mengendong anak lelakinya. — Agensi

Janji temu lapuk

Dalam blognya pada 2020, Whitney memberitahu bahawa dinamik jantina dalam dunia janji temu masih lapuk.

"Saya fikir, bagaimana jika saya boleh ubah semuanya dari dasar?” soalnya.

Pada 11 Februari 2021, beliau membunyikan loceng Nasdaq (bursa saham AS) dengan anaknya di atas pinggul, menandakan satu simbol kejayaan antara keberanian dan sifat keibuan.

Akuinya, ia adalah hasil daripada keberanian dirinya untuk bangkit semula ketika segala-galanya terasa seperti sudah berakhir.

"Bumble adalah bukti wanita boleh, patut dan akan memulakan langkah pertama.

"Apabila hubungan menjadi lebih baik untuk wanita, ia turut menjadi lebih baik buat semua orang.

"Kepada semua wanita yang berani membuat langkah pertama, anda adalah inspirasi hari ini. Jangan pernah terima ‘tidak’ sebagai jawapan, percayalah pada diri sendiri dan ubah kesakitan kepada tujuan," titipnya.

Pada tahun yang sama, ibu kepada dua cahaya mata itu tersenarai dalam Forbes sebagai salah seorang daripada 328 bilionair wanita di dunia dan menjadi wanita termuda yang pernah membawa syarikatnya ke pasaran saham di AS.

Lebih membanggakan, majoriti awal kakitangan Bumble terdiri daripada wanita, satu pemandangan luar biasa dalam industri teknologi yang sering didominasi lelaki.

Kini, Whitney masih memegang kepentingan besar dalam Bumble dan terus komited memperkasa wanita, bukan sahaja dalam dunia perniagaan, tetapi juga dalam kehidupan seharian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram