
PELAJAR tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Cambridge, May Ching Lai memahat sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah gangsa pada pertandingan STEM for Britain 2025, baru-baru ini.
Ching Lai membentangkan penyelidikan tentang cara pemampatan yang mempengaruhi prestasi bateri melalui teknik pengimejan 3D canggih menggunakan mikroskop elektron.
Kajian itu merupakan sebahagian daripada tugas pengajiannya yang memfokuskan punca kualiti bateri litium kian merosot dari semasa ke semasa.
Hasil penyelidikan dijalankan mendapati perubahan kecil struktur dan pembentukan lapisan tidak diingini pada komponen bateri menjadi punca kepada isu berbangkit.
Menurut wanita kelahiran Melaka yang telah disenarai pendek daripada ratusan pemohon pertandingan, teknik pengimejan lanjutan adalah penting untuk membangunkan simpanan tenaga generasi akan datang.
"Ketika dunia beralih kepada kenderaan elektrik, memahami struktur dalaman bateri pada skala mikroskopik akan membantu kami mencipta penyelesaian kuasa yang lebih cekap dan tahan lama," jelasnya.
Gembira atas pencapaian dikecapi, anugerah tersebut digambarkan sebagai satu penghormatan luar biasa.
"Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa dan adik-beradik saya atas sokongan yang mendorong saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan atas dorongan berterusan mereka yang menjadikan perjalanan ini lebih bermakna," katanya.
Penghargaan juga diberikan kepada penyelianya, Profesor Caterina Ducati yang memainkan peranan besar dalam penyelidikan dijalankan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Cambridge Daniel Zeichner turut tampil memuji daya kreativiti serta pencapaian diraih Ching Lai.
"Kejayaan Ching Lai adalah contoh terbaik penyelidikan yang dijalankan oleh saintis muda berbakat di Cambridge.
"Kajian dijalankan beliau dalam teknologi bateri menggunakan mikroskop elektron bukan sahaja mengagumkan malah penting untuk tenaga yang mampan di masa depan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Jawatankuasa Parlimen dan Saintifik Cambridge, acara yang diadakan setiap tahun sejak 1997 itu turut menampilkan pembentangan daripada finalis dalam kategori Kimia, Sains Biologi dan Bioperubatan serta Kejuruteraan, Sains Matematik dan Fizik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram