
KEPUTUSAN untuk hamil pada usia lewat 40-an kini menjadi lebih lazim terutama dalam kalangan wanita berkerjaya.
Antara faktor menyumbang ke arah itu adalah disebabkan isu peribadi, kerjaya atau mungkin masalah kesuburan yang mungkin membelenggu pasangan suami isteri.
Namun, tahukah anda bahawa kehamilan pada usia lewat membawa pelbagai risiko kesihatan, termasuk kemungkinan yang lebih tinggi untuk melahirkan anak dengan gangguan spektrum autisme ataupun Masalah Spektrum Autistik (ASD).
BACA LAGI: Lahir dengan ‘birth mark’ di muka, ibu hidap kencing manis bersyukur dianugerahkan bayi 'ajaib'
BACA LAGI: Penat dan stres jaga anak? Kajian saintis dedah ada manfaat baik kepada fungsi otak
Autisme adalah gangguan mental yang mula muncul pada peringkat kanak-kanak dan menyebabkan seseorang berkelakuan tidak normal dan sukar berkomunikasi dgn masyarakat.
Menurut laporan media antarabangsa, risiko itu boleh berlaku kepada wanita yang hamil pada usia lanjut iaitu sekitar 40 tahun ke atas.
Ciri kanak-kanak autisme boleh dikenal pasti seawal usia setahun setengah. — Gambar hiasan
Kajian yang diterbitkan dalam Science & Health menyatakan bahawa ibu dalam lingkungan usia itu mempunyai risiko 51 peratus lebih tinggi untuk melahirkan anak autisme.
Bersetuju dengan kajian tersebut, Pakar Psikologi Klinikal Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Profesor Madya Dr Azlina Wati Nikmat berkata, ia merupakan antara faktor utama kepada kelahiran anak autisme.
Jelasnya, rata-rata ibu mengandung di usia lewat berkemungkinan tinggi melahirkan bayi dengan isu autisme.
"Kita perlu ingat yang autisme bukan penyakit, sebaliknya ia adalah kecacatan ataupun kekurangan sejak daripada peringkat janin lagi dan ada kaitan dengan usia si ibu.
"Wanita berusia 40 tahun ke atas dan lelaki 50-an ke atas berisiko tinggi untuk terpalit masalah ini, memang kajian pun ada jelaskan dan saya bersetuju dengan perkara tersebut.
"Tapi ini cuma berdasarkan kajian saintifik, kalau dah rezeki dan ketentuan takdir apa kita boleh buat dan bukan semuanya jadi macam itu, tapi ia boleh dibendung kalau tahu dari peringkat awal," katanya kepada Majoriti.
Profesor Madya Dr Azlina Wati Nikmat.
Ditanya mengenai risiko penyakit tersebut, Dr Azlina menjelaskan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) turut menganggarkan risiko kanak-kanak lelaki didiagnosis dengan autisme adalah lebih empat kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan.
Tambah beliau, situasi itu berlaku disebabkan struktur dan fungsi otak lelaki yang berbeza daripada perempuan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Mohd Nazrul Mohd Amin turut menyuarakan pendapat berhubung hal tersebut.
Pengerusi NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin berpendapat isu autisme perlu diatasi dari peringkat awal.
Katanya, punca sebenar kanak-kanak autisme sehingga kini masih belum diketahui dan tiada penawar yang mampu menyelesaikan isu kesihatan tersebut.
"Saya boleh rumuskan belum ada satu pun jawapan tepat yang menjadi punca kepada kanak-kanak autisme, cuma yang ada hanyalah kajian dan hipotesis.
"Jadi kami di NASOM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak penyelidik ataupun doktor untuk bersama menjalankan kajian di samping mengenal pasti punca autisme," katanya.
Mohd Nazrul juga berkata, masalah autisme mempunyai kaitan dengan isu di bahagian sel otak kanak-kanak.
"Mereka ini sepatutnya boleh dibantu jika dikenal pasti dari peringkat awal, jadi apabila dah tahu lebih awal, senang kita bagi pendidikan khas dan terapi bersesuaian," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram