SHAJARATUL Collection, sebuah jenama terkemuka dalam industri kraf tangan dan perkhidmatan eksklusif terus komited memberikan pengalaman bermakna kepada pelanggan menerusi produk istimewa yang menggabungkan kualiti, tradisi dan inovasi.
Menerusi pendekatan tersendiri, pemiliknya, Shajaratul Dur Ismail menumpukan pada penghasilan produk yang bukan sahaja memenuhi cita rasa unik pelanggan, malah memastikan setiap hasil kerja membawa nilai estetika tinggi.
“Gabungan elemen tradisi dan inovasi merupakan identiti utama kami.
"Saya percaya dengan memelihara warisan sambil menerapkan sentuhan moden, kami dapat mencipta pengalaman eksklusif dan bermakna bagi setiap pelanggan," katanya kepada Majoriti.
Usahawan berusia 46 tahun yang dikenali dengan hasil kraf tangan premium seperti bunga telur dan cenderamata eksklusif itu bukan sahaja mengukuhkan jenamanya di peringkat tempatan, bahkan antarabangsa.
Kongsinya, pendekatan reka bentuk yang diketengahkan sememangnya memenuhi keperluan pelbagai lapisan pelanggan termasuk golongan kenamaan (VIP) dan kerabat diraja.
Dikurniakan bakat kreatif, Shajaratul Dur merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komputer dan Seni Digital di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, Selangor.
Ditanya penglibatannya dalam bisnes tersebut, wanita berasal dari Alor Setar, Kedah itu mengakui perniagaan sedemikian adalah impiannya sejak dulu, tambahan pula amat meminati bidang seni kreatif.
.
Hasil tangan Shajaratul Dur semakin mendapat perhatian ramai pihak.
Selepas mengikuti pelbagai forum dan blog, ahli perniagaan itu memutuskan untuk memulakan langkah sebagai perancang perkahwinan dan pengurusan acara sekitar 2005.
"Ketika itu, istilah perancang perkahwinan masih asing dalam kalangan rakyat Malaysia kerana kita terbiasa menggunakan khidmat mak andam.
"Namun, saya melihat peluang besar khususnya dalam memenuhi permintaan klien berada di luar negara yang ingin mengadakan majlis perkahwinan di tanah air.
“Klien pertama saya merupakan pramugari dari Singapura berkahwin dengan warga Malaysia dan majlis mereka diadakan di di Kuala Lumpur.
"Disebabkan klien terlalu sibuk dan enggan membebankan ahli keluarga, maka saya menjadi pengantara semua pihak penyedia perkhidmatan majlis,” kata Shajaratul Dur mengimbau perjalanan kariernya.
Antara cenderahati dihasilkan Shajaratul Dur.
Peralihan bisnes
Enggan berada pada tahap sama membuatkan ibu kepada lima cahaya mata itu beralih pula kepada jualan penghasilan cenderahati premium pada 2011 beroperasi di Seri Kembangan, Selangor.
Keputusan itu juga dibuat untuk memberi lebih masa bersama keluarga, dek peranan sebagai perancang majlis acap kali menuntut waktu kerja hujung minggu yang panjang.
“Saya mahu terus memberi perkhidmatan kepada klien, tetapi dengan fokus yang lebih fleksibel.
"Jadi, saya memilih untuk membuat cenderahati yang sesuai dengan keperluan dan cita rasa pelanggan,” tambahnya.
Produk dihasilkan adalah 100 peratus custom made termasuk bunga telur dan hantaran konsep premium yang direka khas mengikut tema dan permintaan klien.
Bermula dengan tempahan kecil, Shajaratul Collection kini dikenali sebagai pembekal kepada golongan kenamaan termasuk tetamu istana.
Bunga telur untuk Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Puteri Afzan Aminah pada Ogos tahun lalu.
"Bersyukur setakat ini saya banyak menerima kepercayaan menghasilkan cenderahati buat tetamu VIP, selebriti dan klien berpangkat tinggi.
"Dari situ jenama ini berkembang sehingga turut diberi kepercayaan menyediakan cenderahati dan bunga telur premium buat majlis diraja," katanya.
Menghasilkan bunga telur khas dalam Istiadat Perkahwinan Diraja, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah bersama pasangan, FD Idzham FD Iskandar pada Ogos tahun lalu disifatkan antara momen indah buatnya.
"Menerusi diskusi bersama pihak perancang perkahwinan Reka Teemor, alhamdulillah kami dapat memenuhi permintaan klien," tambah usahawan kraf itu.
Pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim (kanan) antara klien VIP yang memberi kepercayaan kepada Shajaratul (kiri).
Sentiasa up-to-date
Berbicara cabaran perlu ditempuhi, anak kedua daripada lima beradik itu mengakui, komitmen memenuhi permintaan menghasilkan reka bentuk baharu yang unik kadangkala mencabar dirinya.
Ditambah lagi, dia sentiasa ingin memastikan produknya kekal eksklusif dan memenuhi kehendak rasa pelanggan.
“Sebagai trendsetter, tekanan sentiasa ada kerana produk yang kita cipta akan ditiru. Oleh itu, saya sentiasa pastikan rekaan kami up-to-date dan relevan.
"Selain itu, dalam bisnes saya sebenarnya menjual ketenangan jiwa, bukan produk semata-mata,” ujarnya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram