[VIDEO] Walau keluarga jauh di Singapura, mentua layan Atikah bak puteri, siap dapat rantai emas sempena 'full moon'


  • Hiburan
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Tangkap layar Atikah dan bayinya ketika diberikan hadiah barangan kemas daripada ibu mentua.

WALAUPUN berjauhan dengan keluarga, pelakon kelahiran Singapura, Datin Atikah Suhaime, 35, menitip rasa syukur apabila dijaga rapi oleh keluarga mentua yang cukup prihatin akan keselesaannya.

Genap sebulan melahirkan cahaya mata perempuannya sejak 8 Mac lalu, Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime kini dalam tempoh berpantang di kediamannya dekat Petaling Jaya, Selangor.

Anaknya, Lyla Mulan Teh juga dalam keadaan baik apabila difahamkan turut dijaga oleh seorang pembantu wanita yang diupah khas suaminya untuk memantau kesihatan dua beranak tersebut.

BACA LAGI: ‘Mama tak pernah sebahagia ini’, Ismail Izzani syukur bapa tiri penyayang, cucu pun suka tok abah

BACA LAGI: [VIDEO] Nikmati hidangan mi kari laksa, Hyo-yeon SNSD kongsi pengalaman jalan-jalan pusing KK, Pasar Seni

Bagaikan rezeki jatuh dari langit, Atikah merasai kebahagiaan berganda apabila dihadiahkan seutas rantai emas sempena sebulan kelahiran bayinya.

Paling menyentuh hati, bayinya turut diberikan barangan kemas berupa gelang emas ketika Atikah sedang sibuk mendodoikan anaknya itu.

"Wah saya pun dapat hadiah ‘full moon’, terima kasih ibu mentuaku," katanya menerusi video di TikTok.

Meraih perhatian ramai, warga maya tidak henti-henti mengucapkan tahniah atas kelahiran bayinya selain turut mengagumi kemesraan terjalin antara Atikah dan ibu mentuanya.

"Al hamdulillah rezeki Atikah dapat keluarga mentua yang sangat baik, suami pun sangat penyayang semoga berkekalan ke anak cucu," kata Noraini Ahmad.

"Suka tengok Atikah sekarang, saya tumpang bahagia tengok dapat ibu mentua baik macam ni, semoga bayi membesar dengan sihat ya," tambah Nany.

"Memang tradisi Cina bila bayi full moon, datuk atau nenek akan bagi hadiah duit ataupun emas kepada bayi dan emaknya," ujar Cassandra.

Terdahulu, pelakon filem Highland Tower itu selamat melahirkan cahaya mata sulungnya di sebuah pusat perubatan Petaling Jaya bulan lalu.

Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Datuk Lokman Teh sekitar Januari tahun lalu, berita kehamilannya diumumkan selepas hantaran video di Instagram peribadi meraih perhatian ramai kerana kelihatan lebih berisi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram