
SERAMAI 10 guru di Sarawak diumumkan kenaikan pangkat pada awal tahun ini, sebagai menghargai peranan dan komitmen berterusan mereka dalam dunia pendidikan.
Barisan senarai tersebut dimaklumkan menerusi hantaran di laman Facebook Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat, Sarawak.
Jumlah tersebut turut merangkumi seramai enam guru wanita iaitu, Nur Rehan Jaani dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangaaan (SK) St John Kg Medong; Nur Sherrima Baharim (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, PPD Dalat) dan Naraida Mudah (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid).
Selain itu, Elrine Johini turut dilantik menjadi Guru Besar SK Sg Rasau; Heleni Binstein Rehen (Guru Besar SK Kampung Bakong Terus) dan Jessica Anak Katang (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Kampung Klid/Plajau).
BACA LAGI: Renjana, kisah guru wanita pertama di Tanah Melayu
BACA LAGI: Murid perempuan terkecuali, hanya pengetua, guru ada kuasa dibenar merotan pelajar — Fadhlina Sidek
Antara yang mencuri tumpuan dalam barisan kenaikan pangkat tersebut adalah Elrine, yang bukan sahaja dikagumi atas pencapaian profesionalnya, tetapi juga disebabkan oleh wajahnya yang kelihatan muda dan seperti keanak-anakan.
Melihat poster dikongsikan di Facebook, rata-rata meluahkan rasa kagum dan tidak percaya apabila wanita yang difahamkan berusia 34 tahun tersebut berjaya mengecapi pencapaian setinggi itu.
"Kalau tidak baca kapsyen, macam murid sekolah (wajahnya). Sangat awet muda, tahniah atas pelantikan guru besar, cikgu," ujar Jefri Ali.
"Tengok gambar di poster ingatkan lantikan pengawas sekolah, rupanya guru besar," kata Serena.
Baru berusia 34 tahun, Elrine kini dilantik sebagai guru besar di SK Sg Rasau. — Facebook/Erynn Joe
Turut senada, Ibrahim Ismail yang berpandangan bahawa pelantikan Elrine membuktikan bahawa minat, kreativiti dan komitmen dalam dunia pendidikan kini jauh lebih dihargai berbanding penampilan fizikal.
"Saya masih ingat apabila guru dipilih berdasarkan ketinggian seperti pramugari seolah-olah penampilan fizikal menentukan kebolehan.
"Elrine Johini adalah bukti kepada itu - muda, bertenaga dan penuh dengan idea-idea segar untuk pendidikan.
"Jika anda tidak membaca kapsyen itu, anda pasti akan fikir dia seorang pelajar. Itulah betapa muda dan mesranya beliau kelihatan!" tulisnya dengan menambah Elrine, sudah lama menyumbang kepada komuniti pendidikan, termasuk dalam proses reka bentuk Rekod Persediaan Mengajar dan berkongsi bahan pendidikan secara dalam talian.
Selain enam guru tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menaikkan pangkat empat guru lelaki termasuk Andrew Linjong sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, SK Datu Pengiran Mohamad; Larry Basah (Guru Besar SK St Luke Ng Baoh); Philip Apeng (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, PPD Dalat) dan Lau Liik Siong (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Poi Yuk).
Pengiktirafan itu juga merupakan sebahagian usaha berterusan dalam memperkasa pendidikan negara dan memberi penghargaan kepada pendidik yang banyak menyumbang kepada kemajuan akademik dan pembangunan pelajar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram