AGAK lama industri filem tempatan tampil dengan sebuah karya yang membawa penonton ke zaman klasik dengan mesej yang berbeza daripada sekadar kisah cinta.
Itu yang ditampilkan dalam filem Renjana, sebuah filem arahan Pali Yahya yang membawa penonton ke zaman 1900an dan mengisahkan cabaran yang dihadapi golongan wanita ketika itu.
Penonton akan dibawa menelusuri kisah guru wanita pertama di Tanah Melayu bernama Che Aminah dalam perjuangannya membela anak bangsa.
Penerbit Mache All Star United Sdn. Bhd., Norley Aimi Nadiah Shaari berkata, setiap paparan yang dihidangkan dalam filem tersebut merupakan sebuah jalan cerita yang sangat unik dan menarik untuk para penonton.
“Kami memberanikan diri menerbitkan naskhah klasik sebegini kerana mahu lari daripada kebiasaan atau cerita klise lain. Kami juga percaya cerita seperti ini mempunyai kelompok peminatnya sendiri.
“Kisah yang berlaku kepada golongan wanita pada zaman tersebut tidak diketahui ramai kerana kurang inisiatif untuk meengolahkannya menjadi sebuah karya seni.
"Selepas melakukan kajian dan pemerhatian, kami mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah filem,” katanya.
Tuturnya, masyarakat sering didedahkan dengan kisah-kisah pejuang tanah air lain tetapi tidak ramai mengetahui tentang kehidupan Che Aminah yang merupakan guru wanita pertama di Tanah Melayu.
NABILA Huda dan Saharul Ridzuan antara yang membintangi filem Renjana.
"Tidak ramai yang mengetahui kisah seorang wanita yang menjadi guru pertama di Tanah Melayu.
"Tanpa sedar, dia sebenarnya lambang perjuangan wanita yang luhur dalam membela anak bangsa kita sejak dahulu," katanya lagi.
Tambah Norley, Renjana diambil inspirasi daripada kisah guru pertama itu namun ditambah dengan beberapa plot lain oleh penulis skrip Adza Emi Adenan untuk menghidupkan jalan cerita.
"Tidak dinafikan memang banyak cabaran yang dihadapi untuk menyiapkan naskhah ini terutama untuk mewujudkan kembali latar masa era 1900-an.
"Kita perlu membataskan pergerakan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan ketika itu namun kita mampu menyiapkan meskipun melalui beberapa kekangan.
"Kita berterima kasih kepada semua pelakon yang terlibat kerana mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sehingga Renjana disiapkan," tambahnya lagi.
Menurut Norley lagi, meskipun mereka menghabiskan sejumlah besar bajet untuk prop, ia memberikan kepuasan tidak terhingga kepada semua apabila Renjana bakal ditayangkan.
Sedang ditayangkan di Astro First, antara pelakon yang terlibat dalam naskhah ini terdiri daripada Nabila Huda, Saharul Ridzuan, Fauzi Nawawi, Aida Aris dan Hasnul Rahmat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram