
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menetapkan hanya pengetua ataupun guru yang diberikan kuasa sahaja dibenar merotan murid tertakluk kepada garis panduan ketat dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Tambahnya, hukuman rotan juga tidak boleh dilaksanakan di khalayak ramai ketika perhimpunan sekolah dan dilarang ke atas murid perempuan seperti diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid.
BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa nahas 'makan jalan' Bukit Ampang rupanya pelajar jurusan akaun no.2 terbaik dunia
"Hukuman rotan adalah salah satu bentuk hukuman boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan kesalahan berat, termasuk kesalahan buli, namun hukuman ini tidak bertujuan mendera, sebaliknya bertindak sebagai kaedah pendidikan yang bersifat mendisiplinkan murid supaya dapat memahami implikasi perbuatan mereka.
"Hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan oleh pihak yang diberi kuasa.
"Kementerian Pendidikan (KPM) juga menegaskan pendekatan pendidikan yang bersifat membina, seperti bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai murni adalah langkah lebih efektif dalam membentuk peribadi murid yang berakhlak serta berintegriti," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ujarnya, peruntukan perundangan sedia ada tidak memberi sebarang kuasa kepada ibu bapa atau orang awam untuk mengambil tindakan fizikal terhadap murid yang melakukan kesalahan, termasuk rotan.
Berpandangan bahawa komunikasi sebagai langkah lebih berkesan dalam menangani sebarang isu disiplin membabitkan pelajar, KPM mahu memperkukuh hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa.
"KPM sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan disiplin di sekolah sejajar dengan dasar pendidikan yang menitikberatkan pembentukan akhlak dan integriti.
"Semua pihak diseru untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan harmoni bagi melahirkan generasi yang berdisiplin serta bertanggungjawab," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram