Awal tak sokong anak belajar subjek seni, kini hasil kaligrafi lunas hutang ibu bapa RM13 juta


  • Berita
  • Selasa, 08 Apr 2025

Chen berjaya melangsaikan hutang ibu bapanya sebanyak RM13 juta hasil bisnes studio kaligrafinya.

SEORANG pemilik studio kaligrafi berasal Wuhan, Wilayah Hubei, China tular di media sosial selepas berjaya melangsaikan hutang ibu bapanya sebanyak 20 juta yuan (kira-kira RM13 juta) dalam tempoh tujuh tahun melalui kemahiran seni kaligrafi.

Chen Zhao mula belajar seni tulisan tangan itu sejak berusia lima tahun.

Walaupun pada awalnya ibu bapanya meragui kemampuan kaligrafi untuk dijadikan sumber pendapatan, Chen tetap meneruskan minatnya.

BACA LAGI: Ibu berpantang sewaktu musim raya, nikmati juadah lebaran tanpa memudaratkan tubuh

BACA LAGI: Tangas moden 'rahsia' sihat Tyra semasa hamil, tempoh berpantang, mudah disediakan 15 minit saja!

Chen kreatif dalam menghasilkan kaligrafi sejak kecil lagi.

Selepas menduduki peperiksaan gaokao, Chen dan ibu bapanya berbeza pendapat mengenai pilihan universiti. 

Ibu bapanya mahu beliau belajar bidang perniagaan, tetapi Chen nekad memilih kaligrafi, akhirnya melanjutkan pengajian di Institut Seni Halus Hubei.

Chen membuka studio kaligrafi sendiri selepas tamat pengajian pada 2016. 

Ketika itu, ibu bapanya memiliki kilang pakaian dan mengharapkan beliau membantu dalam perniagaan keluarga, namun Chen tetap memilih haluan sendiri.

Pelajar pertama studionya adalah seorang murid sekolah rendah yang menulis dengan tangan kiri. 

Walaupun mencabar, Chen berjaya mengajar pelajar itu menulis kaligrafi dengan cantik. 

Dari situlah studio Chen mula dikenali dan berkembang.

Pada 2017, Chen dijemput oleh rakannya untuk mengajar di sebuah institusi kaligrafi di Perancis. 

Namun, terpaksa pulang ke China apabila kilang milik keluarganya ditutup akibat masalah kewangan. 

Pada masa sama, bapanya jatuh sakit dan keluarga mereka dibebani hutang besar.

Chen kemudian memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kaligrafinya. 

Beliau memperbesarkan studio, menaikkan yuran dan mengajar lebih ramai pelajar. 

Dalam tempoh singkat, lebih 300 pelajar telah mendaftar. Chen kini dibantu oleh tujuh pekerja, namun masih menjadi tenaga pengajar utama kerana ibu bapa pelajar lebih yakin dengan kepakarannya.

Selain mengajar, Chen juga menjual produk berkaitan kaligrafi secara dalam talian dan mengendalikan sebuah bilik teh.

“Kami terkejut melihat Chen begitu letih setiap kali kami berkumpul. Kami nasihatkan dia supaya jangan terlalu memaksa diri,” kata rakannya, Liang.

Pada September tahun lepas, Chen berjaya melunaskan semua hutang keluarganya.

“Paling menggembirakan ialah ibu bapa kini menyokong kerjaya saya. Mereka akui bahawa seni juga boleh menjana pendapatan.

"Saya tiada alasan lagi untuk tidak bekerja keras," katanya.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram