Dasar wajib sekolah menengah memperkasakan sistem pendidikan negara


  • Primer
  • Ahad, 06 Apr 2025

Fadhlina (dua kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada murid di pintu masuk Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Kuala Lumpur. Turut kelihatan timbalannya Wong Kah Woh (empat kiri). — ART CHEN/The Star

GOLONGAN murid warganegara di negara ini, terutamanya daripada kumpulan B40 dan kurang bernasib baik, berpeluang mendapat manfaat sebaik sahaja Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah, dilaksanakan kelak.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025, itu akan membantu menjamin masa depan yang lebih baik buat mereka dan juga negara.

Menurut beliau, peluang untuk melanjutkan pelajaran dan memiliki pilihan kerjaya yang lebih luas akan menjadi amat terhad andai mereka tidak menamatkan pendidikan sekolah menengah.

BACA LAGI: Dasar wajibkan pendidikan menengah bakal dibentang di Parlimen Februari — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: Lebih 120,000 murid Tahun 1 belum kuasai kemahiran asas membaca dan menulis — Fadhlina

Azman berkata, tanpa sijil SPM, murid mempunyai peluang pekerjaan yang agak terhad.

Ini kerana, katanya, apabila murid tidak meneruskan pendidikan menengah, mereka tidak akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus menggenggam sijil peperiksaan itu.

“Mereka tidak akan mempunyai sijil SPM atau kelayakan lain yang setara. Jadi, ini akan mengehadkan peluang pekerjaan mereka pada masa depan," katanya sambil, memberi contoh skim perkhidmatan awam yang memerlukan sekurang-kurangnya kelayakan SPM.

Azman berkata demikian ketika berucap pada taklimat khas mengenai RUU tersebut pada 19 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azman berkata, dengan memastikan anak-anak bersekolah dapat melindungi mereka daripada terlibat dengan masalah sosial.

“Di peringkat makro, kita akan dapat membentuk modal insan yang berpengetahuan, mahir, berdaya saing dan inovatif,” katanya.

RUU tersebut, jelas Azman, dirangka khusus untuk mewujudkan perundangan pendidikan yang teratur bagi pelaksanaan pendidikan wajib di peringkat menengah, yang merupakan lanjutan daripada perundangan pendidikan wajib sekolah rendah sedia ada.

Undang-undang baharu itu juga, katanya, merupakan salah satu cara untuk menangani masalah keciciran murid dan perkahwinan bawah umur, memandangkan remaja perempuan perlu melengkapkan pendidikan mereka sehingga umur 17 tahun.

Dengan memastikan anak-anak bersekolah dapat melindungi mereka daripada terlibat dengan masalah sosial.

Azman berkata, kadar keciciran dijangka berkurangan apabila lebih ramai murid melanjutkan pelajaran dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu dan dari Tingkatan Tiga ke Tingkatan Empat.

Menurut beliau, ketika sekolah rendah diwajibkan pada 2003, pendaftaran meningkat daripada 92.9 peratus pada tahun tersebut kepada 96.78 peratus pada 2007, iaitu melebihi kadar enrolmen sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebanyak 95 peratus.

Sehingga 2024, kadar pendaftaran sekolah rendah adalah 99.39 peratus, berbanding kadar pendaftaran sekolah menengah sebanyak 94.86 peratus, yang sedikit di bawah kadar enrolmen sejagat.

“Saya percaya enrolmen sekolah menengah akan mengikuti trajektori kenaikan serupa dengan enrolmen sekolah rendah apabila ia diwajibkan,” kata Azman.

Bantuan yang Tersedia

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang turut hadir pada taklimat tersebut berkata, kerajaan telah memperkenalkan 18 program bantuan persekolahan untuk menyokong keluarga yang menghadapi cabaran ekonomi dalam menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Antara bantuan tersebut termasuklah Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 untuk setiap murid, Program Makanan Tambahan (RMT), Biasiswa Persekutuan dan buku teks percuma.

“Pendidikan di sekolah kerajaan sudah diberi secara percuma. Bantuan kewangan diberikan untuk menyokong kos tambahan seperti buku, makanan dan pakaian seragam,” katanya, sambil menambah, murid yang tinggal di kawasan luar bandar berpeluang mendaftar di Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan Sekolah Model Khas Komprehensif K11.

Institusi pendidikan itu membolehkan murid di pedalaman dan tinggal jauh dari sekolah melengkapkan tahun persekolahan mereka di lokasi sama, kerana sekolah-sekolah tersebut dibina di kawasan sama.

Kerajaan telah memperkenalkan 18 program bantuan persekolahan untuk menyokong keluarga yang menghadapi cabaran ekonomi dalam menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Tambah Fadhlina, bilangan sekolah berkenaan sedang ditingkatkan bagi membolehkan lebih ramai murid menghadiri sekolah tanpa perlu menempuh perjalanan jauh yang memerlukan tambang atau perbelanjaan tinggi.

Selain sekolah berasrama penuh, inisiatif tersebut katanya, akan menghapuskan halangan geografi dan pengangkutan yang menghalang akses ke sekolah.

Sementara itu, bagi murid yang perlu bekerja untuk menyokong pendapatan keluarga, Fadhlina memberitahu, mereka masih dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mengorbankan pendidikan masing-masing.

Menyifatkan RUU itu sebagai sangat kritikal dan signifikan dalam memastikan kualiti tertinggi sistem pendidikan, beliau berkata maklum balas daripada pihak berkepentingan adalah positif.

“Kami telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak di lapangan dan respons yang diterima sangat baik.

“Orang ramai mahu pendidikan sekolah menengah diwajibkan kerana ia adalah cara untuk mendemokrasikan pendidikan, memastikan semua anak Malaysia menerima pendidikan yang adil, sama rata dan berkualiti,” katanya.

PINDAAN penting kepada Seksyen 2 dan 29(A) serta penambahan Seksyen 32(A) kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) akan meluaskan pendidikan formal wajib merangkumi sekolah menengah.

Usaha untuk meminda akta tersebut bermula pada 1 Januari 2023, dengan kelulusan dasar oleh Kabinet diberikan tahun lalu bagi pindaan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] berkaitan pendidikan wajib tersebut.

Pindaan tersebut, kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan, dijadual akan dibentangkan apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada Jun.

Beliau berkata, inisiatif untuk menjadikan pendidikan sekolah menengah wajib juga digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Anjakan 1).

“Pada masa ini, pendidikan wajib hanya melibatkan sekolah rendah. Ini adalah peluang untuk meluaskan pendidikan wajib ke peringkat menengah,” katanya.

Azman berkata, RUU tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Madani terhadap prinsip ihsan (rukun ihsan) dan reformasi pendidikan.

KPM berusaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menamatkan pendidikan menengah dan memperoleh segulung sijil SPM.

Menjadikan sekolah menengah wajib juga biasa dilaksanakan di negara-negara maju, seperti Kanada (10 tahun), Finland (11 tahun), United Kingdom (11 tahun) dan Jerman (13 tahun).

Apabila RUU itu diluluskan, murid termasuk mereka yang mengikuti pendidikan agama dan vokasional mesti didaftarkan di institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan atau institusi pendidikan swasta di bawah kementerian, atau institusi pendidikan berdaftar yang ditubuhkan di bawah akta dan perundangan kerajaan persekutuan atau negeri.

Walaupun ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan denda sehingga RM5,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika mereka gagal menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah, Azman menegaskan bahawa tindakan undang-undang adalah langkah terakhir bagi memastikan ia dipatuhi.

Azman berkata, pihak kementerian, sekolah dan para guru akan terlebih dahulu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah untuk memastikan pematuhan sebelum mempertimbangkan langkah-langkah punitif.

Kesemua usaha itu, tambahnya, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menamatkan pendidikan menengah dan memperoleh segulung sijil SPM.

Inisiatif semasa termasuk usaha advokasi dan intervensi, seperti lawatan rumah (ziarah cakna) oleh kementerian, guru-guru dan ahli masyarakat untuk mengetahui sebab mengapa seorang kanak-kanak tidak hadir ke sekolah.

Azman bagaimanapun memaklumkan bahawa pengecualian daripada pendidikan wajib mungkin diberikan dalam keadaan tertentu namun hendaklah dengan kelulusan Menteri, seperti penyakit kritikal yang menghalang seorang kanak-kanak daripada mengikuti pembelajaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram