
SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas kereta dipandu ibunya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang.
Katanya, mangsa, Nurul Lara Maisarah Mohd Hafiz, 7, tercampak keluar dari kereta dan terhempap di atas cermin hadapan sebuah kereta yang berada di lorong bertentangan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bahaya! Banyaknya lubang disyaki akibat tanah mendap di Jalan Lebuh Utama Sri Gombak
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu ibu mangsa yang berusia 31 tahun dipercayai hilang kawalan dan terbabas merempuh pembahagi lebuh raya di kanan laluan.
"Akibat kemalangan itu, kanak-kanak terbabit tercampak keluar dari kenderaan dan jatuh di atas cermin hadapan sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Impak daripada hentakan kuat itu, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, kakak mangsa yang berusia sembilan tahun yang berada dalam kereta sama cedera, manakala ibu dan bapa mereka terselamat dalam kemalangan itu.
Sementara itu, pemandu serta dua penumpang kereta di lorong bertentangan turut cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
Pihak sekolah mangsa yang menerima khabar tersebut turut berduka dengan pemergian arwah Nurul Lara.
"Belasungkawa. Pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Nenasi, Pekan, Pahang menerima perkhabaran duka sekali lagi.
"Anak murid kami, Nurul Lara Maisarah Tahun 1 telah dipanggil kembali kepada Sang Pencipta.
"Al-fatihah, tenang la anak murid kami. Berlarilah ditaman syurga. Semoga diberikan ketabahan hati yang tinggi buat ibu bapa dan ahli keluarga mangsa," tulis Ainil Fatieha. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram