
PENDEDAHAN berterusan terhadap bahasa kasar daripada ibu bapa boleh memberi kesan mendalam terhadap perkembangan emosi dan tingkah laku anak-anak.
Kanak-kanak yang sering mendengar ibu bapa bercakap dengan nada tinggi atau menggunakan kata-kata kasar berisiko tinggi untuk meniru dan membentuk corak komunikasi yang sama.
Ini kerana pada usia muda, otak mereka sedang aktif merakam dan menyimpan segala bentuk interaksi yang berlaku di sekeliling.
BACA LAGI: 'Cukup tak bercakap beberapa jam', ramai nasihat ibu bapa jangan terlalu kasar ajar anak
Dr. Putri Afzan Maria berkata, perubahan mestilah bermula daripada ibu bapa sendiri.
Pengamal Pendidikan Awal, Pembangunan Emosi dan Kesihatan Mental Kanak-Kanak, Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli bagaimanapun berkata, keadaan tersebut masih boleh diperbetulkan terutama apabila anak masih berada dalam fasa awal tumbesaran.
Namun menurutnya, perubahan itu mestilah bermula daripada ibu bapa sendiri.
"Kalau mak dalam keadaan penuh emosi, rasa terbeban, beliau rasa tiada ruang untuk bercakap dengan baik, ambillah masa untuk berhenti sekejap.
"Tarik nafas sekejap (dalam) limit minit, hembus nafas. Lepas itu, susun balik kata-kata dengan baik dan bercakap dengan anak.
"Apa-apa pun dengan anak-anak perlu berlandaskan komunikasi yang jelas. Maksudnya, okey sekejap ya, ibu tengah penuh sekarang. Cakap saja macam itu, perlahan-lahan kita akan ajar anak," katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam sebuah program radio tempatan baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan seorang pemanggil berkongsikan keadaan anaknya berusia empat tahun yang mula menggunakan kata-kata kasar.
Pada usia muda, otak kanak-kanak aktif merakam dan menyimpan segala bentuk interaksi yang berlaku di sekeliling.
Mengulas lanjut, Dr. Putri Afzan Maria berkata, komunikasi yang jelas dan tenang penting dalam membentuk emosi anak kecil.
“Kita kena beritahu anak apa sedang berlaku dalam diri kita. Contohnya, ibu penat saja angkat baju tadi, panas sangat. Boleh tak bagi dua minit, nanti ibu jawab balik," jelasnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa walaupun anak kecil belum memahami sepenuhnya emosi dan perkataan diucapkan, mereka tetap boleh menyimpan nada suara, gaya percakapan dan perkataan kasar yang digunakan oleh ibu bapa.
Justeru, ibu bapa seharusnya mengubah semula kaedah komunikasi dan tiada salah juga untuk mereka meminta maaf kepada anak-anak.
“Letakkan ego ke tepi. Kalau terlepas cakap kasar, kita boleh perbetulkan balik.
"Cakap saja, tadi penat sangat, ibu tercakap kasar. Maaf ya, cara terbaik nak cakap sebenarnya begini...tidak ada masalah,” katanya.
Dr. Putri Afzan Maria menambah, peringkat umur antara dua hingga enam tahun adalah masa paling kritikal untuk anak belajar tentang nilai baik dan buruk.
Oleh itu, setiap interaksi harian menjadi peluang membentuk keperibadian dan emosi si kecil.
“Jangan takut untuk berubah dan jangan malu untuk tunjukkan kelembutan. Anak belajar daripada apa yang dilihat dan dengar daripada kita. Masa inilah peluang terbaik untuk bentuk emosi mereka dengan sihat,” kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram