[VIDEO] 'Ada perlukan penapis udara untuk anak autistik', mangsa letupan paip gas terima khidmat kaunseling — Nancy Shukri


  • Primer
  • Selasa, 08 Apr 2025

Nancy berkata, seramai 10 kaunselor terlibat dalam membantu mangsa dengan mengutamakan bantuan berdasarkan keperluan khusus.

SERAMAI 235 penduduk terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor diberi perkhidmatan kaunseling di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui inisiatif Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Mobile.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seramai 10 kaunselor terlibat dalam membantu mangsa dengan mengutamakan bantuan berdasarkan keperluan khusus, terutama bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, menerusi sesi kaunseling tersebut, pihaknya berupaya mengenal pasti keperluan mangsa.

BACA LAGI: [VIDEO] Pilu ditimpa bencana kimia, penduduk Putra Heights curiga, bimbang sebelum kejadian letupan paip gas

BACA LAGI: Hasil dapatan siasatan letupan paip gas di Putra Heights akan diumum Jumaat

"Daripada situ kita telah menyantuni mereka lebih kepada keperluan setiap individu, bukan secara menyeluruh lagi. Ada individu memerlukan telefon pintar kerana keperluan terlalu terdesak.

“Walaupun kita tak bagi kepada semua tetapi (kami) mengkaji keperluan masing-masing dan menariknya ada juga yang memerlukan penapis udara untuk anak autistik.

"Ada yang baru bersalin perlukan pakaian dalam dan ada juga yang sakit kepala dan meminta minyak angin khususnys minyak cap kapak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyantuni penduduk terjejas di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nancy menambah, YKN turut menerima sumbangan daripada orang ramai berjumlah RM29,533.

"Kalau melalui YKN, kita ada resit dan ada juga seorang budak memberi tabung (dengan wang) bernilai RM500. Jadi kami kumpul wang tunai yang diterima," katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, hanya 0.7 peratus penduduk yang mengalami trauma akibat kejadian tersebut.

"Yang teruk sudah mendapat rawatan di hospital,” ujarnya.

Menurut Nancy, YKN menyalurkan bantuan berjumlah RM106,523 kepada mangsa-mangsa bencana, termasuk di PPS Masjid Putra Perdana dan Dewan Serbaguna MBSJ Camelia.

Jumlah itu jelasnya, merangkumi bantuan kewangan, keperluan harian dan pelbagai barangan hasil sumbangan tunai orang ramai yang prihatin dan disalurkan melalui YKN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram