[VIDEO] 'Setiap kali sujud, saya baca satu doa. Semudah, ‘Ya ALLAH, bagilah anak aku ada selera makan', amalan Neelofa 1 doa dalam 1 solat


  • Relaks
  • Ahad, 06 Apr 2025

Neelofa (kanan) berkongsi ceritanya bersama Nurul Izzah menerusi siaran audio siar. — Instagram selebriti

USAHAWAN dan selebriti terkenal tanah air, Neelofa, baru-baru ini berkongsi satu amalan peribadi setiap kali menunaikan solat, khususnya ketika bersujud.

Menurut pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 36, beliau akan menitipkan satu doa khusus yang diinginkan dalam setiap solat baik solat fardu mahupun solat sunat.

Amalan tersebut dilakukannya secara konsisten sebagai salah satu usaha agar dipermudahkan segala urusan oleh ALLAH SWT.

BACA LAGI: [VIDEO] Hampir cecah 2 tahun Bilal dah kenal surah pendek, Neelofa tak kisah penat pilih konten anak

BACA LAGI: Perlahankan aktiviti seni, aktif kongsi ilmu kecantikan, parenting, Neelofa, Izara dan Lisa Surihani antara artis wanita suntik inspirasi di media sosial

"Setiap kali sujud, saya baca satu doa. Semudah, ‘Ya ALLAH, bagilah anak aku ada selera makan.

"Aku dah penat masak ni. Bagilah dia sihat sejahtera dengan apa yang dia makan," katanya menerusi satu siaran audio siar bersama bekas Ali Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu turut menjelaskan bahawa doa tersebut akan diulang dalam setiap sujud sepanjang solat.

"Doa itu saya akan ulang, kalau kata empat rakaat, maka sebanyak lapan kali dalam setiap sujud saya ulang perkara sama.

"Saya akan dedikasikan satu solat dengan satu doa yang saya mahukan," katanya.

Sementara itu, ujar Nurul Izzah, amalan sama turut dipraktikkan oleh anak keduanya, Raja Ahmad Harith, 15 ketika mengimamkan solat.

"Harith imamkan solat Maghrib semalam, saya dan Safiyah (anak sulung, Raja Nur Safiyah) ikut. Dia sujud lama sebab berdoa setiap kali sujud.

"Sebenarnya memang di situlah kita boleh doa, cakaplah isi hati dengan ALLAH," tambahnya.

Dalam perkembangan sama, menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdoa disunatkan dalam semua sujud dan tidak hanya khusus dalam sujud terakhir.

"Dibolehkan untuk memperbanyakkan doa sama ada secara lisan ataupun dalam hati.

"Terdapat khilaf untuk menggunakan bahasa selain Arab untuk berdoa secara lisan. Sekiranya menggunakan bahasa Melayu, cukup sekadar dalam hati," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram