[VIDEO] 'Wanita belajar kung fu nampak bergaya', Duan Ruru habiskan masa sedekad kuasai seni bela diri Emei


Emei Kung Fu Girls berjaya menarik perhatian generasi muda dan memperkenalkan kembali aliran Emei yang sebelum ini kurang dikenali. — Agensi

DI hadapan sebuah kuil terpencil yang terletak di pergunungan barat daya China, kelihatan seorang wanita muda mempersembahkan rangkaian pergerakan seni bela diri penuh ketangkasan.

Beliau ialah Duan Ruru, 23, yang menghabiskan lebih satu dekad untuk menguasai ilmu kung fu aliran kuno Emei.

Walaupun seni mempertahankan diri China telah lama didominasi kaum lelaki, kebangkitan sekumpulan wanita Generasi Z seperti Duan kini mengubah persepsi tersebut, sekali gus menarik perhatian terhadap keunikan dan kekuatan aliran Emei.

BACA LAGI: Ilmu pertahankan diri senjata wanita hadapi ancaman jenayah, bukan pilihan tapi keperluan - Shree Sharmini

BACA LAGI: Ambil iktibar tragedi Farah Kartini, wanita perlu belajar seni pertahan diri — Kak Long Zara

 

“Sejak kecil, saya memang minat seni bela diri. Saya rasa wanita belajar kung fu nampak sangat bergaya,” ujar Duan, yang juga pengasas kumpulan Emei Kung Fu Girls.

Berlatih di bawah aliran berusia ratusan tahun yang berasal daripada falsafah Taoisme, Duan dan lapan rakannya bukan sahaja mahir dalam seni pedang, malah mereka menggunakan kelebihan media sosial untuk memperkenalkan kung fu Emei kepada dunia moden.

Rata-rata video penuh gaya mereka diiringi muzik hip hop moden yang memberi sentuhan segar kepada seni tradisi tersebut.

Namun yang pasti, Emei Kung Fu Girls berjaya menarik perhatian generasi muda dan memperkenalkan kembali aliran Emei yang sebelum ini kurang dikenali berbanding nama-nama besar seperti Shaolin.

Hampir tenggelam

Kawasan Emeishan di Sichuan, yang terkenal dengan puncak berkabus, cuba mengangkat semula nilai seni bela diri tempatan sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun seni itu diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara oleh kerajaan China sejak 2008, usaha promosi masih dilihat perlahan dan kurang menyeluruh.

Menurut guru kung fu dan wakil kebangsaan seni bela diri Emei, Wang Chao, inisiatif dibawa kumpulan Kung Fu Girls amat membantu dalam mempopularkan semula seni berkenaan.

“Promosi seni bela diri Emei kini jauh lebih berkesan,” katanya.

Duan meminati latihan seni bela diri sejak kecil. — Agensi

Inspirasi baharu

Memulakan latihan sejak usia 12 tahun, Duan percaya generasinya lebih gemar berdikari dan bebas meneroka potensi diri.

Keazaman itu turut memberi kesan kepada pelajar-pelajar lain seperti Ren Nianjie, 17, yang bercita-cita untuk menjadi atlet kung fu dan mengharumkan nama negara.

“Saya mahu jadi atlet dan mengharumkan nama negara,” luahnya penuh semangat.

Watak-watak pendekar wanita daripada aliran Emei yang digambarkan dalam novel popular karya Louis Cha (Jin Yong) telah lama menjadi inspirasi.

Namun realitinya, walaupun jurang semakin mengecil, pelajar lelaki masih mengatasi jumlah pelajar perempuan.

Dalam satu kelas seni bela diri di sebuah akademi berhampiran, tujuh daripada 17 pelajarnya adalah perempuan.

Bagi ibu bapa seperti Zhu Haiyan, kehadiran anak perempuannya dalam kelas kung fu memberi impak besar terhadap keyakinan diri.

“Jika anak perempuan ada keyakinan diri, mereka tak mudah rasa takut apabila keluar rumah,” katanya sambil memerhatikan anaknya, Guoguo, berlatih. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram