[VIDEO] 'I love you nenek', wanita India hadiahkan baju raya, kemas rumah warga emas sebatang kara di Kluang


  • Relaks
  • Isnin, 07 Apr 2025

Tangkap layar memaparkan usaha murni seorang wanita membantu warga emas yang dipercayai hidup bersendirian.

SEMANGAT perpaduan dan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terus menjadi tunjang keharmonian di negara ini.

Nilai perikemanusiaan dalam diri seseorang untuk saling sayang-menyayangi antara satu sama lain tanpa mengira bangsa sentiasa tersemat dalam diri rakyat di negara ini.

Hal itu ditunjukkan menerusi satu hantaran video tular mengenai keprihatinan wanita berbangsa India yang sudi mengunjungi rumah seorang warga emas dipercayai hidup bersendirian di sebuah kampung dekat Kluang, Johor.

BACA LAGI: Bekas kru kabin sanggup tak ambil gaji setahun, kakak dan adik 'rolling' modal kembang bisnes tudung

BACA LAGI: Bekas jurutera sanggup jual nasi lemak, kuih kumpul modal untuk buka bisnes krim pelindung matahari mesra wuduk

Momen menyentuh hati itu dikongsikan pemilik akaun TikTok Priyangka_01 pada 29 Mac lalu.

Menerusi rakaman tersebut, wanita berkenaan difahamkan menghadiahkan sepasang baju kurung rona merah, kuih raya dan wang sempena perayaan Aidilfitri.

“Dia tinggal seorang diri, tak tahu anak pergi mana. Kasihan saya tengok nenek ini. Dia seorang sahaja dekat rumah.

“Nenek i love you, ini saya bagi duit raya dan jangan lupa pakai baju baharu itu,” katanya dalam video tersebut.

Lebih menarik perhatian ramai, gelagat bersahaja beliau yang tidak kekok beramah mesra dengan nenek tersebut membuktikan keikhlasannya dalam memberi.

Dalam perkembangan sama, satu video lain turut dimuat naik pada Khamis lalu memaparkan wanita berkenaan kembali semula ke rumah itu untuk menghadiahkan makanan kering dan barangan keperluan harian dikirim individu lain termasuk membersihkan kawasan kediaman tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa terharu atas usaha wanita berkenaan yang sudi meringankan beban individu lain dalam kesusahan.

"Cantik berseri-seri nenek pakai baju yang sis belikan. Awak begitu ambil berat dan nenek amat menghargai awak.

"Terima kasih bahagiakan nenek, nanti ALLAH bahagiakan hidup awak," tulis zaharah.

"Terima kasih banyak-banyak sebab melawat nenek dan hiburkan dia. Sekurang-kurangnya dia tahu ada orang tengok-tengokkan dia, harap saudara mara nenek tonton video ini," ujar Farah gush 7. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram