[VIDEO] Pernah tular kisah doktor wanita nikah tukang sapu, kini aktif buat konten gaya hidup masyarakat Pakistan di YouTube


  • Benua
  • Ahad, 06 Apr 2025

Kisah percintaan Kishwar dan Shahzad pernah tular pada 2022. — Agensi

KISAH cinta pasangan dari Pakistan, Kishwar Sahiba dan Shahzad, pernah mencuri perhatian ramai sekali gus membuktikan bahawa cinta sejati tidak mengenal darjat, harta ataupun latar belakang sosial.

Selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu kini menetap di Dipalpur, Tehsil Okara dan aktif berkongsi kehidupan seharian menerusi saluran YouTube Kishwar village vlog.

Kedua-duanya sering memuat naik perkembangan mereka selain berkongsi tentang rutin kehidupan masyarakat tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Hampir cecah 2 tahun Bilal dah kenal surah pendek, Neelofa tak kisah penat pilih konten anak

BACA LAGI: Bukan setakat makan kurma, Tok Abah kongsi cara 'orang lama' dapatkan badan segar semasa berpuasa

Kisah percintaan suami isteri itu pernah tular pada 2022 apabila Kishwar yang ketika itu bertugas sebagai pengamal perubatan, memutuskan untuk melamar Shahzad, seorang pekerja pembersihan di hospital sama Kishwar berkhidmat.

Selain menyapu sampah, Shahzad turut bertugas menyediakan minuman untuk kakitangan hospital.

Hubungan mereka bermula daripada interaksi harian yang ringkas, yakni saling berbalas senyuman, sapaan mesra dan secawan teh.

Namun dari situ, bibit cinta perlahan-lahan berkembang antara mereka. Kishwar mengaku tertarik bukan sahaja dengan layanan Shahzad, tetapi juga personalitinya yang sederhana dan memikat.

"Shahzad tidak seperti pekerja pembersihan biasa. Saya kagum dengan latar belakangnya yang pernah memiliki perniagaan sendiri. Dia luar biasa," ujar Kishwar.

Hal itu yang menguatkan tekad Kishwar untuk melamar Shahzad. Keputusan itu dibuat hanya dalam tempoh sehari, mengejutkan Shahzad yang pada mulanya menyangka ia sekadar gurauan.

Difahamkan, lelaki tersebut juga tidak hadir bekerja selama beberapa hari akibat jatuh sakit kerana terlalu terkejut.

Namun akhirnya, Shahzad menerima lamaran itu dengan penuh keikhlasan.

Kisah mereka kemudiannya menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi, termasuk kritikan terhadap Kishwar yang sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai doktor selepas berkahwin.

Menurut Shahzad, keputusan itu dibuat kerana Kishwar tidak tahan dengan usikan dan ejekan daripada rakan sekerja mengenai perkahwinan mereka.

Namun, pasangan berkenaan tetap teguh mempertahankan cinta mereka, membuktikan bahawa kasih sayang yang tulus tidak mengenal pangkat, darjat atau profesion. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram