[VIDEO] Huda Beauty hadiah barangan mekap buat wanita Palestin sempena Aidilfitri, tanda kasih sayang


Huda dan pasukan The Giving Family cenderung menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha kemanusiaan mereka. — Instagram/huda

JENAMA kosmetik terkemuka dunia, Huda Beauty, menyentuh hati ramai apabila tampil memberi sumbangan barangan mekap kepada wanita di Palestin sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran video di Instagram sebuah organisasi amal, The Giving Family pada Sabtu.

Antara produk yang disumbangkan termasuk bedak kompak, lipstik liquid matte, pemerah pipi, pembayang mata dan beberapa lagi.

BACA LAGI: Diiktiraf sebagai antara usahawan Muslim paling berpengaruh dunia, Huda Kattan menjadi suara keadilan Palestin

BACA LAGI: [VIDEO] Masih belum dapat berbuka puasa bersama keluarga, warga Palestin syukur iftar beramai-ramai sepanjang jalan di Rafah

Inisiatif itu disifatkan sebagai satu penghormatan dan peringatan penuh kasih bahawa wanita-wanita Palestin sentiasa dilihat, diraikan dan disayangi meskipun diuji dengan cabaran hidup yang getir.

Menerusi kerjasama erat bersama beberapa sukarelawan tempatan diketuai usahawan yang juga pengasas The Giving Family, Fadie Musallet, barangan solekan tersebut diagihkan kepada wanita yang berada di sekitar kawasan Masjid Al-Aqsa.

Ujar Fadie, keindahan momen itu bukan sahaja terletak pada senyuman penerima, tetapi juga pada kekuatan dan keanggunan yang mereka zahirkan.

“Kami amat tersentuh melihat reaksi wanita ini. Senyuman, kekuatan dan keanggunan terpancar pada wajah mereka adalah detik yang akan dikenang buat selamanya,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Fadie dalam pada itu turut menyuarakan penghargaan kepada pengasas jenama Huda Beauty, Huda Kattan dan pasukannya kerana bersama-sama membantu menjayakan inisiatif berkenaan.

"Sumbangan ini lebih daripada sekadar alat solek. Ia adalah hadiah kasih sayang, satu bentuk penghormatan kepada maruah wanita dan lambang solidariti yang menyentuh jiwa,” tambahnya.

Untuk rekod, kedua-dua entiti baik Huda mahupun The Giving Family cenderung menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha kemanusiaan mereka.

Huda turut dikenali sebagai aktivis yang lantang memperjuangkan keadilan sosial terutamanya dalam isu Palestin, selain aktif dalam pelbagai inisiatif amal.

Antaranya, Huda Beauty telah memberi sumbangan sebanyak $1 juta (RM4,683,500) kepada organisasi kemanusiaan di Gaza.

Sementara itu, The Giving Family juga sering memfokuskan pada kerja-kerja kebajikan dan bantuan kemanusiaan terutamanya kepada golongan memerlukan di kawasan bergolak seperti Palestin.

Organisasi itu aktif dalam menjalankan misi kemanusiaan termasuk pengagihan makanan, bantuan kewangan dan sumbangan keperluan asas serta barangan harian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram