
KESUKARAN mendapatkan tudung bawal yang sesuai dengan kehendak di pasaran mencetuskan idea dua beradik berasal dari Kedah untuk mendalami dunia bisnes.
Bermodalkan wang simpanan sebanyak RM2,000, Nurul Nazwin Mohd Zulkifli, 32, dan kakaknya, Maizatulnazwa Mohd Zulkifli, 37, kini menempa nama dalam perusahaan tudung dan produk kecantikan.
Bercerita tentang awal pembabitan dalam dunia perniagaan, Nurul Nazwin atau mesra disapa Awien dan Maizatulnazwan memulakan perniagaan sulung pada 2014.
"Ketika itu, kedua-dua kami sedang hamil anak pertama dan mula mengenakan hijab, namun sukar mendapatkan tudung bawal yang sesuai di pasaran selain tidak banyak pilihan.
“Jadi kami beli kain dan tempah sendiri. Tidak sangka, ramai pula bertanya tentang tudung yang kami pakai,” ujarnya kepada Majoriti.
Nazwin memutuskan berhenti kerja pada 2015 dan memberi tumpuan penuh pada perniagaan tudung. — Instagram/awinzulkifli
Dengan peningkatan permintaan, Maizatulnazwa atau Wawa mengambil keputusan berhenti kerja pada 2014, diikuti Nurul Nazwin setahun kemudian, untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan tudung.
Bermula dengan hanya 200 helai tudung yang dijual dari rumah, mereka membangunkan jenama Wawawien (gabungan nama mereka berdua), dengan logo yang dicipta sendiri.
Akui Nurul Nazwin, perjalanan mereka tidak mudah. Dengan modal kecil, mereka perlu mengawal perbelanjaan dan mengembangkan perniagaan secara berperingkat tanpa sebarang pinjaman.
Terpaksa bertahan tanpa gaji selama lebih setahun, ujarnya, semua keuntungan digunakan kembali sebagai modal pusingan bagi menambah stok.
Beliau menjelaskan, ia bertujuan memastikan modal perniagaan sentiasa berputar tanpa perlu suntikan dana tambahan.
Walaupun begitu, keuntungan yang diperoleh turut digunakan bagi keperluan keluarga, termasuk membeli keperluan anak kecil mereka.
"Memang tidak dinafikan, saya berdepan cabaran kewangan selepas menjadi suri rumah. Dulu, sudah biasa ada duit dalam tangan, tapi bila berhenti semuanya berubah.
"Gaji untuk diri sendiri juga tidak diambil demi memastikan perniagaan terus berkembang, tetapi jika perlu membeli barang keperluan seperti mainan anak, kami gunakan hasil berniaga," ujarnya yang aktif membuka reruai di pelbagai acara bagi tujuan promosi.
Idea menghasilkan suplemen Vitamin C Gebu Glow tercetus pada 2019. — Instagram/awinzulkifli
Suplemen vitamin C
Seiring perkembangan bisnes tudung, Wawa dan Awien kemudian mengorak langkah menembusi pasaran produk kecantikan dan kesihatan di bawah jenama Wawawien Beaute.
Menurutnya, idea menghasilkan suplemen Vitamin C Gebu Glow tercetus pada 2019 selepas menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan mengenai penjagaan kulit dan tenaga harian.
Situasi itu memberi mereka ilham menghasilkan produk yang bukan sahaja meningkatkan imuniti badan tetapi juga membantu mencerahkan kulit, menghilangkan parut dan merawat jerawat.
"Ramai tanya bagaimana kami mampu menguruskan perniagaan dan anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah.
"Sebelum ini kami memang mengamalkan pengambilan vitamin C dan beberapa suplemen lain namun hanya yang jenis biasa sahaja.
"Setelah melakukan kajian, kami ingin menghasilkan suplemen yang lebih lengkap dengan tambahan bahan aktif seperti astaxanthin," jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Percaturan dua beradik tersebut nyata mengena apabila produk dilancarkan mendapat sambutan menggalakkan susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu.
Ujar Nurul Nazwin, mereka menggunakan pendekatan modul perniagaan kepada perniagaan dengan menyediakan platform latihan dan pembangunan kerjaya untuk ejen sehingga mempunyai lebih 2,000 ejen berdaftar di seluruh negeri.
Komunikasi yang baik menjadi kunci utama kejayaan Wawa (kanan) dan Awien dalam mengendalikan bisnes bersama. — Instagram/awinzulkifli
Karakter kuat
Akui Ketua Pegawai Eksekutif Wawawien itu, bekerja bersama saudara sendiri dalam perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi komunikasi yang baik menjadi kunci utama kejayaan mereka.
“Kalau ikutkan, saya dan Wawa mempunyai perbezaan umur lima tahun dan masing-masing memiliki karakter yang kuat.
"Saya lebih kepada strategi, perancangan dan penetapan matlamat sementara kakak lebih fokus kepada operasi dan pengurusan harian.
"Jadi, cabaran utama adalah bagaimana kami menyelaraskan kedua-dua peranan ini tanpa menimbulkan konflik yang berpanjangan,” katanya.
Tambahnya lagi, dalam tempoh 11 tahun berniaga, perkara yang paling penting adalah untuk tidak menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap pasangan perniagaan
Bicara lanjut soal perkembangan era pendigitalan, jelas beliau, platform e-dagang terus bersaing menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
Bagaimanapun tidak dinafikan, di sebalik kelebihan itu, peniaga dalam talian berdepan cabaran besar akibat potongan komisen tinggi yang dikenakan platform-platform tersebut.
Awien (kiri) juga aktif menyertai pelbagai acara untuk mempromosikan jenamanya. — Instagram/awinzulkifli
“Kalau dalam kategori fesyen sahaja, platform boleh tolak sehingga 20 peratus daripada hasil jualan.
"Bayangkan kalau jualan mencecah RM100,000, sebanyak RM20,000 sudah diperuntukkan kepada platform sahaja, belum lagi masuk kos modal, pemasaran dan iklan,” katanya.
Menurut beliau, sebelum kemunculan platform e-dagang, kebanyakan urusan jual beli dilakukan melalui WhatsApp atau Instagram, yakni pelanggan membayar terus kepada peniaga tanpa sebarang potongan besar.
“Dulu kalau pelanggan bayar RM50, jumlah itu sepenuhnya milik kita. Sekarang, jika pelanggan bayar RM50, hampir 20 peratus sudah dipotong oleh platform sebelum kita terima keuntungan sebenar," beritahunya.
Jelasnya, fenomena tersebut mencerminkan realiti perniagaan digital masa kini, yang mana peniaga perlu menyesuaikan diri dengan cabaran kos tinggi sambil memastikan perniagaan berdaya saing di platform e-dagang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram