Chef Wanita Terbaik Dunia 2025 milik Chef Pam Soontornyanakij dari Thailand, lakar sejarah wakil Asia


Chef Pam berharap anugerah itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi baharu cef wanita untuk terus mengejar impian. — Instagram/chef.pam

CEF wanita terkenal dari Bangkok, Pichaya Soontornyanakij, melakar sejarah apabila diumumkan sebagai Chef Wanita Terbaik Dunia 2025, menjadikannya wanita pertama dari Thailand dan Asia menerima pengiktirafan tertinggi daripada organisasi berprestij, 50 Best Restaurants.

Anugerah berkenaan merupakan pembuka tirai kepada siri penganugerahan tahunan yang akan berlangsung dalam satu majlis rasmi pada 19 Jun ini di Lingotto Fiere, Turin, Itali.

Pichaya atau lebih dikenali sebagai Chef Pam, juga pemilik restoran mewah, Potong diiktiraf atas sumbangan besarnya dalam dunia kulinari global dan pendekatan kreatif terhadap masakan Thai-Cina yang telah mengubah perspektif terhadap cita rasa serantau.

BACA LAGI: Israel mungkir janji, enggan lanjut ke fasa kedua gencatan senjata dengan Hamas

BACA LAGI: Israel mungkir janji, enggan lanjut ke fasa kedua gencatan senjata dengan Hamas

Restoran Potong turut mencatat kejayaan apabila disenaraikan di tangga ke-13 dalam senarai Asia’s 50 Best Restaurants 2025 dan tangga ke-57 dalam World’s 50 Best Restaurants 2024.

Restoran berlokasi di Chinatown, Bangkok, Thailand itu terletak di sebuah bangunan warisan yang dahulunya merupakan premis ubat herba milik keluarganya.

Dilahirkan dan dibesarkan di Bangkok, penerima gelaran Chef Wanita Terbaik Asia 2024 itu mendapat pendidikan kulinari rasmi di Culinary Institute of America sebelum menyertai restoran ternama Jean-Georges di New York.

Sekembalinya ke tanah air, beliau bersama suaminya menubuhkan The X Project, kumpulan hospitaliti yang mengendalikan pelbagai konsep restoran dan bar di sekitar Bangkok.

Antara jenama di bawah naungan mereka termasuk Smoked, sebuah restoran BBQ berkonsepkan gabungan teknik Texas Amerika Syarikat (AS) dan masakan Thai serta Opium Bar, sebuah bar koktel imersif yang diiktiraf antarabangsa dan kini menduduki tangga ke-73 dalam Asia’s 50 Best Bars 2024.

Restoran Potong mencatat kejayaan apabila disenaraikan di tangga ke-13 dalam senarai Asia’s 50 Best Restaurants 2025. — Instagram/chef.pam

Di luar dapur, Soontornyanakij juga aktif dalam industri hiburan dan pendidikan kulinari.

Beliau merupakan juri utama bagi rancangan popular Top Chef Thailand dan turut diundang sebagai juri dalam pelbagai program antarabangsa seperti Top Chef Arab World, Iron Chef, The World Cook, The Maverick Academy serta terkini, The Restaurant War Thailand.

Bagi memupuk bakat baharu wanita dalam dunia masakan, beliau menubuhkan Program Biasiswa dan Latihan Industri Women for Women (WFW), menyediakan peluang pembelajaran dan bimbingan kepada wanita muda yang bercita-cita menjadi cef profesional.

Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Chef Pam meluahkan rasa syukur atas penghormatan diberikan.

"Saya berharap anugerah ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi baharu cef wanita untuk terus mengejar impian mereka dalam bidang kulinari," luahnya.

The restaurant boasts stunning views of the city skyline. — Dewakan Dewakan menduduki tangga ke-84 dalam senarai Asia’s 50 Best Restaurants 2025. — Dewakan

Dalam perkembangan sama, kali terakhir restoran Malaysia tersenarai dalam senarai berprestij tersebut adalah pada 2022, apabila Dewakan berjaya memasuki senarai top 50.

Namun kali ini, Malaysia tetap diwakili dalam senarai Asia’s 50 Best Restaurants 2025 bagi kedudukan 51-100, dengan Dewakan menduduki tangga ke-84.

Sementara itu restoran baharu, Au Jardin yang terletak di Pulau Pinang berjaya meraih tempat di tangga ke-100. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram