Bekas jurutera sanggup jual nasi lemak, kuih kumpul modal untuk buka bisnes krim pelindung matahari mesra wuduk


  • Bizz
  • Rabu, 19 Mac 2025

Sarini (kanan) mengeluarkan produk sendiri di bawah jenama The Pastels Shop pada 2019.

MESKIPUN memiliki latar belakang dalam bidang kejuruteraan kimia dan biologi, minat Sarini Zainal Abidin, 38, lebih cenderung ke arah dunia kosmetik dan penjagaan kulit.

Rasa ingin tahu terhadap pembuatan sesuatu produk ditambah pendedahan yang diterima sewaktu menimba ilmu di Korea Selatan menguatkan tekad wanita kelahiran Kuantan, Pahang itu untuk mengendalikan perniagaannya sendiri.

Sekembalinya ke tanah air selepas lebih empat tahun, Sarini mula menjual produk penjagaan kulit yang diimport dari Korea Selatan.

BACA LAGI: Badan naik merah terkena sinaran UV walaupun sesaat, ketahui risiko penyakit Xeroderma Pigmentosum mengundang kanser

BACA LAGI: Badan naik merah terkena sinaran UV walaupun sesaat, ketahui risiko penyakit Xeroderma Pigmentosum mengundang kanser

Sarini (belakang, tiga dari kiri) gemar berkongsi tip pemilihan produk penjagaan kulit yang betul.

Peningkatan trend penggunaan produk dari negara itu membangkitkan semangat Sarini untuk berkongsi tentang peri penting penjagaan kulit kepada rakyat Malaysia.

"Saya mula bekerja sebagai jurutera tetapi dalam masa sama, saya juga mengimport produk dari Korea Selatan dan mengedarkannya di Malaysia.

"Di samping itu juga saya aktif berkongsi kepada orang ramai tentang pemilihan produk penjagaan kulit yang betul," kongsinya kepada Majoriti.

Pengalaman hidup di Korea Selatan banyak memberi inspirasi terhadap perniagaan dan produk kecantikan yang dibina wanita berkenaan.

Akuinya, industri kecantikan di sana sudah berkembang begitu pesat di hampir setiap lokasi.

"Kalau pergi ke mana-mana terminal bas atau stesen kereta api, pasti ada kedai kecil yang menjual produk penjagaan kulit, tidak kira besar atau kecil.

"Di sana, produk mereka mudah diakses, bahkan di kawasan kampung kecil pun ada kios atau kedai kecantikan.

"Di Malaysia, kita masih bergantung pada katalog atau ejen untuk mendapatkan produk ini," tambah beliau.

Produk The Pastels Shop boleh didapati di lebih 400 rangkaian peruncit seluruh Malaysia.

Kebimbangan keluarga

Beliau bagaimanapun mengakui, peralihan kerjaya sebagai jurutera kepada usahawan bukanlah sesuatu yang mudah.

Meski disokong penuh suami, keputusan meninggalkan kerjaya stabil untuk mengejar impian dalam industri kecantikan menerima sedikit tentangan daripada keluarga dan rakan terdekat.

"Mereka bimbang dengan perubahan drastik yang diambil, daripada berada dalam zon selesa kepada dunia yang lebih tidak menentu dan penuh cabaran," ujarnya.

Namun, anak kedua daripada dua beradik itu tidak menyerah kalah dan percaya untuk meyakinkan keluarga, beliau perlu membuktikannya melalui tindakan, bukan kata-kata.

“Untuk yakinkan mereka, ia memerlukan masa. Saya pula bukan jenis yang banyak bercakap, lebih kepada bertindak.

"Lama-kelamaan selepas melihat saya benar-benar bersemangat dan komited terhadap kerja yang dilakukan, mereka sudah mulai terima," ujarnya.

Sarini (kiri) ketika dijemput sebagai ahli panel untuk Sesi Jaringan anjuran SME Corp.

Berniaga nasi lemak

Bercerita lanjut, Sarini berkata, pada 2011, beliau mula mengimport produk kecantikan dari Korea dalam skala kecil, dengan modal awal sebanyak RM300 untuk membeli penghantaran pertama.

Berkhidmat sebagai jurutera yang mengendalikan bahagian Korea, rakan-rakan sekerja banyak membantu membeli produk-produk penjagaan kulit dari negara tersebut.

Menyedari bisnes memerlukan peruntukan kewangan yang tidak sedikit, ibu kepada tiga anak itu pernah melakukan pelbagai kerja sampingan seperti menjual nasi lemak, kuih-muih, sambal dan pakaian terpakai bagi menambah modal.

"Macam-macam yang dijual dan saya juga terpaksa usung anak bawa berniaga ke sana ke mari.

"Pada 2016 pula, saya bersama suami aktif membuat cenderahati perkahwinan dan keuntungan daripada projek tersebut digunakan untuk membeli produk," katanya.

Selepas beberapa tahun mengumpul pengalaman dalam industri, graduan Universiti Korea itu akhirnya mengambil keputusan mengeluarkan produk sendiri di bawah jenama The Pastels Shop pada 2019.

Ujarnya, produk pertama beliau adalah produk penjagaan kulit tanpa alkohol dan pewangi yang berasaskan air, sesuai dengan keperluan pengguna di Malaysia.

“Saya percaya ada keperluan untuk produk yang lebih selamat dan mesra kulit di pasaran tempatan.

"Kami juga menjadi jenama pertama yang memperkenalkan ciri garisan warna tertentu bagi memudahkan pelanggan memilih produk.

"Antaranya, produk dengan garisan merah untuk kulit berminyak manakala kuning untuk produk pemutih,” katanya yang lebih dikenali dengan nama Kak Rini dalam kalangan pengikutnya.

Rasa ingin tahun terhadap pembuatan produk menguatkan tekad Sarini untuk mengendalikan perniagaannya sendiri.

Rutin penjagaan kulit

Berkongsi tentang aspek penjagaan kulit yang paling penting bagi dirinya, Sarini memberitahu, dua elemen utama dalam rutin penjagaan kulitnya adalah pencuci muka dan krim pelindung matahari.

Kedua-dua elemen itu ujar beliau, adalah langkah penting yang dilakukan setiap hari. Jika salah memilih produk, ia boleh merosakkan kulit.

Usahawan tersebut dalam pada itu turut menekankan krim pelindung matahari yang sesuai dengan cuaca Malaysia perlu memberikan perlindungan Ultraviolet (UV) tanpa menyumbat pori-pori.

Kongsinya, banyak produk di pasaran tidak menguji perlindungan matahari (SPF) dengan betul dan ada yang terlalu berminyak.

"Kami di The Pastels Shop mencipta krim pelindung matahari mesra wuduk yang tidak perlu dibilas dan sesuai untuk individu yang sering membasuh muka.

"Satu lagi ciri unik produk kami adalah ia dirumus secara water-based, yang menjadikannya sesuai untuk kulit sensitif.

"Kami telah menguji produk ini untuk memastikan ia boleh dibilas dengan air, sesuai dengan kehendak pengguna yang menjaga kulit mereka dengan teliti," kata Sarini menambah produknya boleh didapati di lebih 400 rangkaian peruncit seluruh Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram