
SUDAH menjadi kelaziman masyarakat bergambar dan berswafoto di pagi Syawal sebagai kenangan seisi keluarga.
Sama ada di rumah ataupun studio foto, masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan terutamanya bagi individu yang pulang beraya di desa.
Namun, lain pula ceritanya bagi penduduk di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Kuala Lumpur ini apabila penghuninya bersatu hati menghias laluan koridor menjadi lokasi bergambar.
BACA LAGI: 'Balik Kampung' antara 3 lagu wajib hiasi Aidilfitri walaupun tiada perkataan ‘raya’
Dilengkapi dekorasi persis rumah mewah, sebanyak 15 tingkat kediaman itu dihiasi dengan pelbagai reka bentuk serta tema menarik bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menerusi perkongsian di laman TikTok, kemeriahan sambutan raya penghuni rumah flat PPR tersebut jelas terpancar dengan kreativiti ditampilkan menerusi ruangan koridor berkenaan.
Tular di laman sosial sejak Khamis, rata-rata warga maya amat mengagumi keharmonian dimiliki penduduk di situ.
Malah, segelintir daripadanya turut menyuarakan keinginan untuk bergambar bersama seisi keluarga di kediaman tersebut.
"Fuh macam rumah mewah dah PPR, macam ni mau datang bergambar tak payah bayar studio foto dah lepas ni," kata ShashaIsya.
"Cantiknya, dulu duduk PPR tak macam ni pun, syukur kalau semua pemikiran nak menjaga kebersihan bersama boleh je kekalkan bangunan jadi cantik, mindset tu kena ubah," ujar SharifahAnalog.
"Pagi raya meriah orang datang bergambar nanti, kreatif betul macam-macam konsep ada kat PPR ni, komuniti dia betul-betul harmoni," tambah Mohd Idris.
Terdahulu, sebuah lagi kediaman flat di Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang turut tular di laman sosial apabila bangunan 16 tingkat itu dipenuhi dengan cahaya berwarna-warni sempena Aidilfitri.
Bukan kali pertama, muafakat ditampilkan penduduk di situ sudah menjadi kelaziman dan aktiviti tahunan menjelang perayaan.
Sebilangan masyarakat menggesa agar perkara itu diberikan perhatian dan insentif khas oleh kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) agar ia menjadi ikutan di seluruh negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram