Lagu APT Rose Blackpink-Bruno Mars didakwa bawa unsur lucah, tak sesuai untuk kanak-kanak


  • Hiburan
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Lagu APT nyanyian duet Rose Blackpink dan Bruno Mars didakwa ada unsur negatif.

FENOMENA muzik Korea Selatan semakin mendominasi pasaran dunia dengan penyanyi popular antarabangsa kini gemar menjalin kolaborasi bersama artis K-Pop.

Terbaharu, Rose dari kumpulan Blackpink turut menghasilkan lagu duet dengan Bruno Mars berjudul APT yang menjadi siulan ramai khususnya golongan remaja.

Hangat dimainkan di corong radio tempatan, lagu tersebut membuktikan betapa pengaruh K-Pop cukup meluas di peringkat global apabila meraih lebih 100 juta tontonan di YouTube selepas seminggu dilancarkan.

BACA LAGI: Tayangan perdana di Belanda, Mencari Ramlee tersenarai ke Festival Filem Rotterdam

BACA LAGI: [VIDEO] 'Memoir Seorang Guru' alam nyata, Cikgu Al Tarmizi kongsi suka duka pengalaman mengajar di pedalaman Sarawak

Namun, keunikan lirik yang ditampilkan mencetuskan persoalan ramai berhubung maksud sebenar di sebalik perkataan APT tersebut.

Public Health Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis mendedahkan maksud dan mesej lirik lagu tersebut.

Mendakwa ia ada kaitan unsur negatif dan lucah, APT nyanyian duet penyanyi popular itu dikatakan tidak sesuai untuk didengari masyarakat negara khususnya kanak-kanak.

"Penggunaan istilah ‘APT’ atau ‘apartmen’ sebagai simbolik untuk tempat pertemuan dalam konteks menggoda juga memperlihatkan normalisasi terhadap tingkah laku yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya Timur.

"Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana lagu ini sering digunakan sebagai muzik latar dalam video-video media sosial, menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian tanpa kita sedari.

"Anak-anak mungkin menghafal lirik ini tanpa menyedari mesej yang disampaikan," katanya.

Dalam pada itu, lirik lagu itu dikatakan secara terang-terangan membawa pengaruh gaya hidup tidak sihat dan normalisasi budaya Barat.

Di ruangan komen, rata-ratanya berpendapat ia tidak sesuai didengari golongan kanak-kanak.

"Melodinya catchy tapi itulah kalau boleh jangan bagi budak dengar dan nyanyi lagu ni, memang tak elok maksud dia, tak nafikan memang terngiang-ngiang dalam kepala kalau dengar lagu ni," kata Aisyah Umairah.

"Apa yang kita dengar, lihat dan baca sedikit sebanyak mempengaruhi hidup kita, lagi kalau budak-budak nyanyi ramai-ramai, kau rasa sesuai ke," ujar Raihan.

"Rosak la kalau semua budak dok hafal lirik tanpa tahu maksud sebenar, lagu ni memang tak sesuai untuk budak sebab bertemakan negatif dan unsur lucah kelab malam," tambah Norman Khair.

Pun begitu, APT menjadi fenomena di peringkat antarabangsa apabila menduduki tangga teratas dalam carta 50 Global Spotify, menjadikan Rose penyanyi solo wanita Korea Selatan pertama yang mendominasi carta tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram