[VIDEO] Hentak pemandu guna helmet, peniaga didenda RM3,500


Tertuduh Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.

SUSPEK kes pukul pemandu menggunakan topi keledar di Jalan Cheng Utama, Melaka bulan lalu mengaku salah di Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat.

Majistret N. Sivashangari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang peniaga bertindak memukul mangsa berusia 52 tahun menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan kecederaan ketika kejadian pada 27 Mac lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Api marak menjulang sampai langit, saluran paip gas bocor punca kebakaran di Putra Heights

BACA LAGI: [VIDEO] Enam lelaki ditahan bergaduh di Medan Seri Keramat, 2 ada rekod jenayah lampau — Polis Ampang

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, rotan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung beban kewangan termasuk menyara keluarga serta hutang tertunggak berkaitan premis perniagaannya.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa Inspektor T. Veramuthu memohon hukuman setimpal, dengan menyatakan bahawa kejadian itu telah mendapat perhatian umum selepas tular di media sosial.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM3,500 atau penjara enam bulan jika ingkar.

Terdahulu, suspek ditahan polis selepas didakwa menyerang seorang lelaki dengan topi keledar sehingga menyebabkan mangsa rebah di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis menerima laporan kejadian menerusi klip video berdurasi 17 saat yang tular di Facebook.

Tambahnya, pertelingkahan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan membabitkan tindakan fizikal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram