BERMULA sekadar hobi melukis, kini pemuda kelahiran Seberang Takir, Terengganu ini semakin melebarkan sayap seni contengan animenya ke negara jiran Indonesia dan Brunei.
Mohd Rozamil Mohd Yatim, 39, atau lebih dikenali sebagai Zameer Pentbrush di TikTok, memiliki kelebihan tersendiri apabila mampu menghasilkan corak lukisan berbentuk komik ataupun anime pada kenderaan.
Hanya berbekalkan pen dakwat, bapa kepada dua orang anak ini sudah mampu menjadikan ia sebagai punca pendapatan buat seisi keluarganya.
BACA LAGI: Lagu APT Rose Blackpink-Bruno Mars didakwa bawa unsur lucah, tak sesuai untuk kanak-kanak
Mula mendalami seni lukisan itu sejak 2005, Zameer banyak mengambil inspirasi daripada komik popular Jepun, Initial D yang cukup diminatinya satu ketika dahulu.
Jelasnya, setiap tempahan lukisan komik dikenakan cas harga bermula RM3,500 hingga RM4,500 bergantung pada kualiti dan jenis ketahanan dimahukan pelanggan.
"Saya mula melukis, conteng ini sejak 2005, masa itu ada juga cuba conteng pada kereta tapi sambutan dia tak menggalakkan seperti sekarang sebab trend macam itu belum terkenal.
"Harga ikut kualiti yang pelanggan nak, sebab teknik yang digunakan berbeza kalau pelanggan nak yang jenis tahan lama, ada juga yang memang minta untuk tujuan pertandingan sahaja.
"Banyak ambil inspirasi dari Jepun sebab benda ni terkenal lama dah di sana, salah satunya komik Initial D la yang banyak pengaruh saya buat conteng komik ni.
"Tak pernah pergi kelas melukis ataupun ambil latihan bengkel sebagainya, memang anugerah dari ALLAH dan semua saya lukis secara spontan je," katanya kepada Majoriti.
Zameer ketika menyiapkan lukisan salah seorang pelanggannya di Brunei.
Bercerita lanjut berhubung tawaran diterima dari negara jiran, Zameer kerap menerima mesej di laman sosial dari luar negara yang berminat dengan seni contengannya.
Terbaharu, Zameer baru sahaja pulang dari Brunei dan siapkan tempahan lukisan salah seorang klien di sana.
"Paling terbaharu, saya baru lepas conteng kereta di Brunei, dia ada sertai festival pertunjukan kereta, jadi dia minta saya datang lukiskan kereta dia jadi komik.
Sebelum ni pun ada buat kerja di Indonesia, dan paling jauh sebenarnya pernah dapat tawaran dari Australia tapi terpaksa tolak waktu itu sebab terlampau sibuk.
"Al hamdulillah setakat ni saya memang banyak terima tempahan, macam-macam jenis kereta dah saya conteng dan yang paling mahal adalah Lamborghini," katanya.
Dalam pada itu, bakat seni lukisnya tidak terhenti di situ apabila dua anaknya yang masih bersekolah rendah sudah mula mempelajari dan meminati seni tersebut.
Boleh dikatakan hampir setiap hari melihat bapanya melukis di bengkel, kedua-dua anaknya secara tidak langsung sudah mula mengikuti jejak Zameer apabila turut membantu di kala waktu lapang.
Zameer banyak menerima tempahan daripada kereta berjenama antarabangsa.
"Anak saya pun dah mula tunjukkan minat dalam seni lukisan komik ni, memang saya ada turunkan sikit demi sikit ilmu pada mereka.
"Banyak tempahan kereta pun kalau mereka cuti sekolah saya akan bawa bersama dan bantu saya siapkan kereta pelanggan.
"Orang kata melentur buluh biarlah dari rebungnya, mana la tahu satu hari nanti mereka boleh sambuung legasi saya, harapnya begitu la inshaALLAH," tambahnya.
Kerap diminta mengajar seni lukisan itu kepada orang ramai, Zameer tidak menolak untuk membuka sebuah bengkel lukisan satu hari nanti.
Jelasnya, sudah menjadi impian buatnya untuk mengembangkan lagi perniagaan dan minatnya kepada orang ramai namun, segalanya masih di peringkat awal dan setakat ini dia hanya mampu berkongsi ilmu dan tip secara atas talian di laman TikTok peribadinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram