
BELIAU ialah graduan tempatan dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan pertama yang berkhidmat di sebuah syarikat multinasional (MNC) terkemuka di Malaysia, pada 1984.
Selama 19 tahun, Jamaludin Adnan menggalas tanggungjawab dalam sektor pengeluaran dan penyelarasan operasi pemprosesan makanan di organisasi tersebut.
Bagaimanapun, krisis kewangan dan ketidakstabilan ekonomi pada 1997 yang meninggalkan impak mendalam terhadap negara menyebabkan usahawan berumur 64 tahun itu berasa terpanggil untuk membantu individu yang terjejas.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sekadar minuman berkarbonat tepi sawah, bunga jadi identiti gadis di sebalik Sechenta
Bersama rakan kongsinya yang juga bekas jurutera di syarikat sama, kedua-duanya sepakat untuk menubuhkan perniagaan.
Memulakan syarikat pemprosesan makanan dengan pendekatan unik, syarikat di bawah jenama Sudee Holdings Berhad itu bukan sekadar menjual produk, tetapi menawarkan penyelesaian kepada industri makanan.
"Pelanggan pertama ialah Malaysia Airlines, yang mana kami membangunkan sistem penyediaan makanan lebih cekap dengan mengurangkan tenaga kerja dan kos penyimpanan.
"Di samping itu, kita juga menyediakan peluang pekerjaan bagi membantu menangani isu pengangguran pada ketika itu," katanya kepada Majoriti.
Jamaludin (kiri) turut dibantu isterinya dalam mengendalikan Sudee Holdings Berhad.
Sejak itu, syarikat tersebut terus berkembang dan beroperasi di belakang tabir, dengan membekalkan bahan-bahan untuk industri makanan, bagi memudahkan proses pengeluaran serta mengurangkan kos operasi syarikat besar.
Ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia) itu lagi, antara inovasi dilaksanakan termasuk penyediaan bahan masakan yang telah diproses dan penghantaran just in time mengikut jadual produksi pelanggan.
Produk pes kering
Selepas 15 tahun membina asas kukuh dalam industri pemprosesan makanan, beliau mengorak langkah ke pasaran runcit dengan menampilkan produk minuman sebelum memperkenalkan produk masakan pelbagai guna, pes kering.
Seiring peredaran zaman dan perubahan gaya hidup masyarakat, syarikat milik Jamaludin terus bergerak maju dengan memperkenalkan pes makanan kering sebagai solusi kepada golongan sibuk.
Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, keperluan terhadap makanan yang mudah disediakan dan enak dimakan semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan ibu bekerjaya atau yang masih belajar.
"Jadi kita ambil inisiatif menghasilkan pes makanan kering yang membolehkan pengguna menikmati hidangan seperti air tangan sendiri tanpa perlu bersusah payah di dapur.
“Ramai yang mahu menikmati makanan sedap, tetapi selalu berdepan kekangan masa.
"Dengan adanya pes makanan kering ini, sesiapa sahaja boleh menyediakan hidangan seperti air tangan sendiri,” katanya yang turut dibantu isteri, Noreata Mohd Yusoff, 60, sebagai pengarah syarikat.
Syarikat Sudee memperkenalkan pes makanan kering sebagai solusi kepada golongan sibuk.
Tidak hanya berasaskan masakan Melayu, pes kering keluaran Sudee turut merangkumi sajian di beberapa negara lain termasuk dari Cina, Korea, Jepun dan makanan Barat, dengan 150 jenis produk secara keseluruhan.
Selain itu, ujarnya, Sudee juga menawarkan perkhidmatan berkonsepkan model label peribadi kepada usahawan yang ingin menjual produk jenama sendiri tanpa perlu memiliki kilang pemprosesan.
Beliau menambah, inisiatif itu bertujuan membantu lebih ramai usahawan memasarkan produk dengan lebih mudah.
“Dengan konsep label peribadi, mereka boleh fokus kepada pemasaran tanpa perlu risau tentang proses pembuatan,” jelasnya yang turut menyediakan bahan asas masakan seperti serai dan lengkuas dalam bentuk kiub.
Pes kering keluaran Sudee merangkumi 150 jenis produk secara keseluruhan.
Diaspora
Dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa, syarikat berkenaan kini berjaya memasarkan produk mereka di lebih 20 negara termasuk United Kingdom (UK), Arab Saudi, Perancis, Australia, Jerman, Indonesia, Brunei dan Amerika Syarikat (AS).
Anak ke-11 daripada 12 beradik itu memberitahu, beliau menyedari bahawa pasaran antarabangsa, terutamanya komuniti diaspora Malaysia di luar negara, mempunyai permintaan tinggi terhadap produk makanan mudah disediakan dengan rasa autentik.
Jelas beliau, produk yang ditawarkan juga sesuai untuk industri makanan global, khususnya restoran dan perniagaan yang ingin menyajikan masakan Malaysia secara lebih praktikal.
Dengan nilai jualan bulanan mencecah antara RM500,000 hingga RM750,000 sebulan, syarikat dengan kilang yang beroperasi di Batu Caves, Selangor itu berada di landasan kukuh untuk terus berkembang.
Dengan lebih 50 kakitangan kini berkhidmat di bawah syarikatnya, Jamaludin juga merancang untuk membawa syarikatnya ke peringkat tawaran awam permulaan (IPO) sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memperkukuh kedudukan di pasaran global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram