
RAMAI meluahkan keterujaan dan terharu selepas selebriti jelita, Nora Danish, berkongsi pencapaian berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 10 hari.
Aktres berusia 42 tahun itu menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hadiah paling bermakna sempena ulang tahun kelahirannya ke-43 pada 7 Mac lalu.
Ibu kepada dua cahaya mata tersebut memulakan tadarus secara berkumpulan sejak hari pertama Ramadan dan berjaya khatam al-Quran setelah membaca lebih 50 muka surat setiap hari.
BACA LAGI: 'Dia yang menyatukan dan memisahkan', rakan artis titip pesan buat rumah tangga Nora-Nedim
BACA LAGI: Pak Nil akui 'cemburu' kejayaan Nora Danish
Dalam perkongsian di Instagram miliknya pada Rabu, beliau turut berkongsi momen bersejarah ketika majlis penyempurnaan Al-Quran berlangsung bersama sahabat-sahabat tadarusnya.
Nora turut berkongsi rezeki dengan menyediakan hadiah istimewa merangkumi antaranya lilin, buku, coklat tiramisu, biskut, sampul duit raya dan kad ucapan buat rakan-rakan sempena majlis berkenaan.
Menerusi hantaran tersebut, Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif berkata, perjalanan melaksanakan tadarus ketika Ramadan bukan sekadar membaca, tetapi juga tentang memahami, meresapi dan menjadikan kalam ALLAH SWT sebagai panduan hidup.
Nora sebelum ini juga pernah beberapa kali khatam al-Quran secara bersendirian. — Nora Danish
"Setiap ayatnya memberi ketenangan, setiap surahnya mendidik hati dan setiap bacaannya mendekatkan diri kepada-Nya.
"Terima kasih tidak terhingga kepada sahabat-sahabat al-Quran yang menjadi penguat semangat dan juga kepada Ustaz Hafiz Kamal yang membimbing dengan penuh kesabaran dan kasih sayang," tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Titip Nora lanjut, "Ya ALLAH, jadikanlah al-Quran cahaya dalam hati ini, penawar dalam setiap duka dan teman sejati di dunia serta akhirat. Semoga kita semua terus istiqamah dalam mencintai dan mengamalkan kalam-MU."
Untuk rekod, Nora sebelum ini juga pernah beberapa kali khatam al-Quran secara bersendirian ketika bulan puasa termasuk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram