
INGIN lebih fokus kepada keluarga membuatkan Nur Sumiyah Muhammad Hussin, 38, nekad meletakkan jawatan sebagai eksekutif di sebuah syarikat multinasional (MNC) pada 2015.
Setahun kemudian, beliau mula menyusun atur langkah ke dalam dunia perniagaan kek jeli tiga dimensi (3D) di Kampung Budiman, Meru, Klang, Selangor.
Bagaimanapun akui Nur Sumiyah, beliau pada awalnya tidak berhasrat menjual kek unik itu, sebaliknya hanya tertarik mempelajari teknik menyuntik jeli sekadar suka-suka, selepas melihat di Facebook.
Kek jeli 3D sesuai dijadikan hantaran dan hadiah.
Lalu beliau menimba ilmu selama dua bulan bersama seorang wanita warga Vietnam sebelum mahir menghasilkan kek dengan dekorasi kuntuman bunga.
Segalanya berubah apabila wanita itu cuba membuat kek jeli sempena majlis perkahwinan sepupunya, namun tidak disangka manisan itu diterima baik sebelum dijadikan salah satu hantaran.
"Dari situ saya sedar rupanya ada pasaran untuk produk ini terutama hantaran majlis perkahwinan.
"Saya bermula secara kecil-kecilan, sekadar berkongsi di Facebook sehinggalah ada pihak stesen penyiaran awam meminta saya membuat demonstrasi dalam satu program televisyen.
"Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya apabila bisnes ini semakin dikenali. Saya mula menerima lebih banyak permintaan khususnya untuk tempahan hantaran dan hadiah," katanya kepada Majoriti.
Nur Sumiyah (kiri) mencucuk pewarna ke dalam kek jeli menggunakan picagari bagi menghasilkan corak bunga dan kesan 3D.
Pewarna semula jadi
Dalam usaha menghasilkan kek jeli 3D, Nur Sumiyah memilih pewarna daripada bahan semula jadi seperti lobak, bunga telang dan buah naga.
Menurutnya, pewarna semula jadi bukan sahaja memberikan warna menarik, malah selamat dimakan berbanding pewarna tiruan.
"Pewarna ini biasanya didatangkan dalam bentuk serbuk bagi memudahkan penggunaannya dalam pembuatan kek.
“Saya kemudian akan mencucuk pewarna ke dalam kek jeli menggunakan picagari bagi menghasilkan tulisan, corak bunga dan kesan 3D sebelum dikeraskan di dalam peti sejuk,” katanya memberitahu kek jeli juga popular di Jepun, Thailand dan beberapa negara lain.
Keistimewaan kek jeli 3D itu menurut Nur Sumiyah, sesuai dinikmati oleh hampir semua lapisan usia.
“Berbanding kek biasa yang berkrim dan berminyak, kek jeli mempunyai rasa lebih ringan dan menyegarkan,” jelasnya yang terpaksa menolak tempahan dari luar negara disebabkan teksturnya yang lembut menyukarkan proses penghantaran.
Jana pendapatan
Bagi anak bongsu daripada empat beradik itu, perjalanan dalam dunia kek jeli 3D bukan sekadar membina perniagaan, tetapi juga satu misi berkongsi ilmu dengan lebih ramai individu terutamanya wanita.
Bergelar usahawan dan jurulatih, akui Nur Sumiyah, beliau sendiri pada awalnya sukar untuk mencari guru bagi mengajarnya teknik pembuatan kek berkenaan.
Ilmu diperoleh kemudian membuka mata wanita itu betapa uniknya seni kek jeli 3D dan ia wajar dikongsi dengan lebih ramai orang.
Seni pembuatan kek jeli 3D memerlukan ketelitian yang tinggi.
“Dalam kelas sebelum ini, hanya saya seorang wanita Melayu, jadi saya rasa bertanggungjawab memperkenalkan seni ini kepada lebih ramai wanita agar mereka juga boleh menjana pendapatan melaluinya,” jelasnya.
Kini, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu melatih lebih 100 pelajar, termasuk mereka yang belajar secara dalam talian dari pelbagai lokasi.
Teliti
Seni pembuatan kek jeli 3D bukan sahaja menawarkan visual yang memukau tetapi juga memerlukan ketelitian tinggi, berbanding kek biasa.
Jelas Nur Sumiyah lagi, keistimewaan kek tersebut terletak pada persembahannya yang unik.
"Yang menjadikan kek jeli istimewa adalah penampilannya, bentuk bunga dalam kek yang kelihatan seperti terapung di dalam kaca," katanya yang menghasilkan kira-kira 40 kek sebulan.
Daripada segi pembuatan, beliau mengakui ia lebih mencabar berbanding kek biasa.
"Kalau kek biasa, kita terus boleh hias di atas permukaan yang sudah siap. Namun dengan kek jeli 3D, perlu menyuntik corak dari bawah dan hanya akan melihat hasilnya selepas semuanya siap.
"Ia seolah-olah ada elemen kejutan setiap kali kita mengeluarkan hasil akhir," tuturnya menambah, menghasilkan 'kanvas' jeli yang sempurna mengambil masa sekitar tiga hingga lima jam bergantung saiz kek.
Kek jeli dalam saiz mini hasil pembuatan Nur Sumiyah.
Banjir
Bercerita lanjut tentang dugaan bisnes dihadapinya, ujar Nur Sumiyah, kejadian banjir besar pada 2021 melanda sebahagian besar Selangor menjadi satu ujian yang tidak pernah disangkanya.
Apatah lagi ketika itu, perniagaannya sedang rancak menerima tempahan disebabkan musim perkahwinan dan majlis keraian pada penghujung tahun.
Namun, segala perancangan terhenti apabila banjir melanda secara tiba-tiba.
“Pada hari kejadian, saya masih ada hampir tujuh biji kek yang belum dihantar dan diambil oleh pelanggan.
"Namun air naik dengan pantas dan dalam keadaan tersebut, saya langsung tidak dapat menghantar tempahan atau membenarkan pelanggan datang mengambilnya kerana kawasan rumah sudah dinaiki air setinggi hampir dua kaki,” katanya.
Akibatnya, beliau terpaksa menanggung kerugian besar apabila kek-kek tersebut tidak dapat diselamatkan.
Selain itu, banyak bahan dan peralatan yang digunakan untuk perniagaan turut musnah akibat banjir, dengan anggaran kerugian keseluruhan antara RM6,000 hingga RM10,000.
"Proses pemulihan tidak berlaku dalam sekelip mata. Saya mengambil masa hampir dua minggu untuk kembali beroperasi selepas membersihkan rumah dan menggantikan peralatan rosak," jelas beliau.
Dari segi keuntungan pula, Nur Sumiyah mengakui, bisnes kek jeli 3D memberikan margin yang cukup selesa dan menguntungkan.
“Keuntungan dalam perniagaan ini agak sihat. Margin yang diperoleh juga selesa bagi saya.
"Jadi bagi sesiapa yang ingin memulakan bisnes ini, ia boleh menjadi satu peluang yang baik,” bicaranya menutup perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,InstagramdanTelegram