
KAPTEN Sunita Williams yang terkandas lebih sembilan bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akhirnya kembali menjejakkan kaki ke Bumi pada petang Selasa.
Sunita bersama Kapten Butch Wilmore, 62, terbang ke makmal orbit itu pada Jun tahun lalu, dalam perjalanan pergi balik selama beberapa hari untuk menguji kapal angkasa Boeing Starliner pada penerbangan berkru pertamanya.
Bagaimanapun kapal angkasa tersebut mengalami masalah pendorongan dan dianggap tidak sesuai untuk membawa mereka pulang ke Bumi.
BACA LAGI: Terperangkap di orbit, 2 angkasawan AS kongsi pengalaman bau angkasa ketika bertahan di ISS
BACA LAGI: Kehebatan wanita UAE, ada yang muncul angkasawan berhijab pertama
Kedua-dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) itu mendarat sekitar pukul 5.57 petang (waktu tempatan) di luar pesisir Tallahasse, Florida.
Mereka pulang bersama rakan sepasukan daripada Crew-9, iaitu angkasawan NASA Nick Hague dan angkasawan Roscosmos, Aleksandr Gorbunov dengan menaiki kapal angkasa Dragon milik SpaceX.
Menyingkap susuk angkasawan wanita berusia 59 tahun itu, di sini Majoriti kongsikan empat fakta menarik tentang Sunita:
Sunita (kiri) bersama Butch terbang ke makmal orbit pada Jun tahun lalu.
1) Pendidikan
Sunita dilahirkan pada 19 September 1956 di Euclid, Ohio, Amerika Syarikat (AS). Beliau merupakan anak bongsu kepada pakar neuroanatomi India-Amerika, Deepak Pandya dan Slovene-Amerika, Ursuline Bonnie.
Selepas menamatkan pengajian di Akademi Tentera Laut AS di Annapolis dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Fizik pada 1987, beliau melanjutkan pengajian dan meraih Ijazah Sarjana Pengurusan Kejuruteraan di Institut Teknologi Florida pada 1995.
Kerjaya ketenteraannya bermula di Tentera Laut AS sebagai pegawai menyelam asas, sebelum meningkat menjadi juruterbang helikopter selepas menamatkan latihan penerbangan pada 1989.
Sunita kembali menjejakkan kaki ke Bumi pada petang Selasa.
2) Pengalaman ketenteraan
Selepas menamatkan latihan penerbangan, Sunita berkhidmat sebagai juruterbang dalam Operasi Desert Shield di Teluk Parsi dan turut terlibat dalam misi kemanusiaan pasca Taufan Andrew di Florida pada 1992
Selepas berkhidmat sebagai Pegawai Projek H-46 di Direktorat Ujian Pesawat Sayap Rotary, beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Keselamatan yang bertanggungjawab dalam pelbagai ujian penerbangan pesawat, termasuk UH-1, AH-1W dan CH-53.
Pada Disember 1995, beliau kembali ke Sekolah Juruterbang Ujian Tentera Laut AS sebagai pengajar.
3) Misi ekspedisi
Pada 1998, Nasa memilih Sunita sebagai calon angkasawan. Beliau melancarkan Ekspedisi 14/15 pada Disember 2006 dan mencipta rekod dunia dengan melakukan empat laluan angkasa lepas selama 29 jam 17 minit, menjadikannya salah seorang wanita paling lama berkhidmat di angkasa ketika itu.
Sunita kembali menerbangkan misi Ekspedisi 32/33 pada 2012, menghabiskan lebih 127 hari di orbit untuk meneruskan penyelidikan dan penerokaan.
Keadaan Sunita (atas, tengah) bersama Butch (bawah, tengah) ketika terkandas lebih sembilan bulan di ISS.
4) Pengalaman
Sunita mencipta sejarah sebagai wanita kedua yang menghabiskan masa paling lama di angkasa lepas, dengan jumlah 606 hari dalam dua misi luar biasa.
Rekod cemerlang itu menjadikannya salah seorang angkasawan wanita paling berpengalaman dalam sejarah Nasa, kedua selepas Peggy Whitson dengan rekod 665 hari.
5) Perkahwinan
Sunita berkahwin dengan Michael J. Williams, seorang polis persekutuan di Texas. Kedua-duanya mempunyai latar belakang dalam penerbangan helikopter sebelum memulakan kerjaya masing-masing.
Pasangan itu telah berkahwin selama 20 tahun dan tidak mempunyai anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram