Mersing, Dungun dan Gombak destinasi popular wanita Malaysia, tempahan lonjak lebih 30 peratus


  • Massa
  • Khamis, 20 Mac 2025

Wanita memainkan peranan penting dalam komuniti Airbnb. — Gambar hiasan

WANITA memainkan peranan penting dalam komuniti Airbnb, daripada mencipta pengalaman penginapan yang menarik sehingga memperkasa ekonomi melalui aktiviti pengehosan. 

Secara global, wanita menyumbang 54 peratus daripada jumlah keseluruhan hos Airbnb, dengan 55 peratus daripada semua senarai ‘kegemaran tetamu’ (guest favourite) di platform itu dikendalikan wanita.

Mersing, Johor mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam jumlah tempahan oleh tetamu wanita, menjadikannya destinasi domestik yang melonjak popular pada tahun lalu.

BACA LAGI: Tempahan Airbnb Malaysia meningkat 30 peratus separuh pertama 2024

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

Mersing mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam jumlah tempahan oleh tetamu wanita. — Tourism Johor

Ia diikuti rapat oleh beberapa bandar lain yang turut mencatatkan peningkatan termasuk Dungun dan Kemaman, Terengganu; Gombak, Selangor serta Kluang, Johor.

Platform perkongsian dan sewaan penginapan, Airbnb menerusi satu kenyataan memaklumkan, Kuala Lumpur terus mendominasi sebagai bandar domestik dengan tempahan tertinggi, mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan utama pelancong wanita.

Bandar-bandar lain seperti Johor Bahru, Johor, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang turut mencatatkan tempahan tinggi.

Bagi destinasi antarabangsa pula, Taipei, Taiwan muncul sebagai pilihan paling banyak ditempah oleh wanita Malaysia, manakala Bangkok, Thailand kekal sebagai bandar kesukaan mereka, diikuti Melbourne, Australia dan Busan, Korea Selatan.

Trend itu mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan wanita Malaysia untuk meneroka destinasi pelancongan, baik di dalam negara mahupun luar negara.

Taipei muncul sebagai pilihan paling banyak ditempah oleh wanita Malaysia. — Agensi

"Melancong secara berpasangan kekal sebagai gaya pelancongan paling popular dalam kalangan tetamu wanita Malaysia pada 2024.

"Selain itu, wanita berusia 30 hingga 39 tahun merupakan kumpulan paling aktif di Airbnb, yang menyumbang kepada majoriti jumlah tempahan oleh pelancong wanita di Malaysia," katanya.

Sementara itu, hos wanita di Malaysia terus menunjukkan prestasi cemerlang di platform Airbnb, dengan beberapa pencapaian mengagumkan pada tahun lalu.

Menurutnya, hos wanita di negara ini memperoleh pendapatan median sebanyak RM8,815 pada tahun tersebut.

Selain itu, lebih 40 peratus daripada keseluruhan senarai 'kegemaran tetamu' di Malaysia dikendalikan wanita, menunjukkan bahawa mereka memainkan peranan penting dalam menyediakan pengalaman penginapan yang disukai pelancong.

Pada 2024, hampir 50 peratus hos wanita di Malaysia juga menerima penilaian lima bintang daripada tetamu mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram