[VIDEO] Berkelana ke 33 negara, anak jati PJ reka pakaian guna serat tumbuhan pergunungan Himalaya sehingga masuk pasaran Amsterdam


  • Bizz
  • Isnin, 10 Mac 2025

Pameran seni Sattica yang berlangsung di Kathmandu ArtHouse pada 2022.

PENGEMBARAAN ke utara India pada 2018 menemukan perjalanan baharu dalam kehidupan Rif Ariffin berusia 40 tahun.

Berbeza dengan kebanyakan pelancong yang mahukan suasana pantai, pereka grafik dan seni bina dalaman itu memilih untuk meneroka kehidupan di pergunungan yang disifatkan penuh ketenangan dan keaslian.

Di sana, anak jati Petaling Jaya, Selangor itu berpeluang mengunjungi Kampung Malana, lokasi terpencil di kawasan pergunungan Himalaya, yang banyak mengajarnya penggunaan bahan-bahan semula jadi dalam kehidupan harian.

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

Masyarakat di kampung yang terletak di negeri Himachal Pradesh itu bergantung sepenuhnya pada bahan-bahan tempatan untuk pakaian, makanan dan keperluan harian.

“Di kampung itu, saya melihat kehidupan lebih dekat dengan alam. Mereka menggunakan segalanya yang ada di sekitar tanpa bergantung pada bahan kimia atau produk luar," katanya kepada Majoriti.

Artisan daripada Kampung Malana menghasilkan fabrik pakaian daripada serat tumbuhan.

Menurutnya, pengalaman lebih 18 tahun bekerja dalam projek pengubahsuaian rumah dan pangsapuri memberi perspektif baharu kepentingan penggunaan bahan mesra alam.

Ujar beliau, selama ini dirinya banyak terdedah pada penggunaan bahan kimia dalam projek-projek rekaan dalaman.

"Saya sedar industri ini banyak bergantung pada bahan yang boleh memberi implikasi buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan.

"Itulah sebabnya sebagai pereka, saya perlu ambil inisiatif menggunakan bahan-bahan lebih mesra alam,” jelas Riff.

Kongsinya yang juga aktif mengembara, beliau gemar mendokumentasikan projek dan pengalaman kembara melalui gambar dan video.

Berkelana di Kampung Malana menginspirasikan beliau untuk mengusahakan projek menggabungkan kepakaran rekaan dimiliki dengan pendekatan bahan-bahan alami.

Bermula dari sebuah idea, lahirlah jenama Sattica Hemp, projek lestari yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan menghasilkan barangan harian mesra alam daripada serat tumbuhan seperti pakaian.

Kata Riff, tanaman luar biasa itu tumbuh secara semula jadi di pergunungan Himalaya dan telah lama digunakan oleh puak bukit untuk keperluan harian termasuk pakaian.

Sebagai pengembara, Riff gemar mendokumentasikan projek dan pengalaman kembaranya melalui gambar dan video.

Pameran seni

Mengimbau perjalanan awal penubuhan Sattica, kongsi Riff, pada 2018, selepas pulang ke Malaysia dari India, beliau menyertai pameran seni berkumpulan anjuran Art Seni di The Linc, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Saya mempamerkan koleksi fotografi dari Kampung Malana, satu tema baharu yang belum pernah diketengahkan kepada khalayak tempatan.

"Pameran tersebut berjaya mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan pengunjung, dengan dua daripada tiga karya fotografi terjual," katanya yang sudah mengembara ke 33 negara.

Pandemik Covid-19 melanda dunia menyebabkan Rif memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk fokus sepenuhnya pada projek lestari berkenaan.

Masa yang dihabiskan di rumah digunakan sepenuhnya untuk membina laman web, mencipta rekaan dan melakukan kajian mengenai fabrik berasaskan serat tumbuhan.

Kain hemp, bahan berkualiti tinggi diperkenalkan semula melalui rekaan yang menggabungkan prinsip form meets function iaitu keseimbangan antara estetika dan fungsi.

Pada 2021, Rif telah menghasilkan pelitup muka hemp antimikrob dan beg silang untuk menyimpan pelitup muka.

Projek itu turut melibatkan kerjasama bersama Mantang People, komuniti pelarian Myanmar di Kuala Lumpur, sebagai usaha menyokong golongan terpinggir melalui peluang pekerjaan dan pemerkasaan komuniti.

Sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka selepas tamat PKP, anak ketiga daripada lima beradik itu tidak menunggu lama untuk terbang ke Kathmandu, Nepal bagi memulakan projek fabrik berasaskan serat semula jadi.

"Seorang rakan dari Nepal beritahu jika nak dapatkan serat semula jadi terbaik, saya perlu datang ke sana kerana pokok tersebut tumbuh di pergunungan Himalaya," tambahnya yang menghabiskan empat bulan mencari fabrik terbaik bagi menghasilkan pakaian dan beg untuk Sattica.

Pameran kelima Sattica yang mengambil tempat di Prinsengracht, Amsterdam.

Bagai bulan jatuh ke riba, Riff ditawarkan menyertai sebuah galeri yang kebiasaannya disertai oleh artis lokal sahaja.

"Mereka menunjukkan minat apabila mengetahui saya menghasilkan fabrik daripada bahan semula jadi Himalaya dan cuba untuk membawa produk tersebut ke luar," ujarnya.

Ceritanya lagi, selepas Kathmandu, beliau meneruskan perjalanan ke Amsterdam dengan bantuan rakan dari sana.

Beliau enggan jenama itu sekadar mengikuti trend, sebaliknya menekankan rekaan yang relevan dan tahan lama untuk 20 hingga 30 tahun akan datang.

Akuinya, walaupun material tersebut sudah digunakan sebelum ini, Riff cuba hadir dengan pendekatan naratif baharu dan rekaan kontemporari lebih komersial serta moden.

"Kelemahan produk dari India ataupun Eropah yang menggunakan material sama ialah dari segi rekaan.

"Namun kita tahu fabrik daripada tumbuhan ini terletak pada sifatnya yang tahan lama, antibakteria dan mesra alam.

"Jadi idea fotografi saya boleh digabungkan dengan bahan ini dan menghasilkan reka bentuk lebih moden serta komersial kepada bahan tersebut," tuturnya yang turut mendapat sokongan ibu.

Sattica tampil dengan produk seperti baju, seluar, beg dan aksesori.

Setiap foto yang dirakam lelaki itu membawa mesej tentang ketahanan, kelestarian dan hubungan antara manusia dengan alam.

Dengan gabungan fotografi dan rekaan moden, beliau yakin bahan ini berpotensi menembusi pasaran yang lebih luas, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan bahan mesra alam dalam kehidupan seharian.

Pada Oktober 2022, produk Sattica diperkenalkan di Amsterdam untuk meneroka pasaran Eropah.

Jelasnya, setahun kemudian, Persatuan Belanda-Malaysia menganjurkan pameran di Amsterdam menampilkan ciptaan Sattica, yang dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman.

"Perjalanan mencari stokis di sana tidak mudah. Idea saya ditolak lebih 100 kali termasuk di Nepal sendiri kerana mereka meragui seseorang yang bukan rakyat tempatan cuba memasarkan bahan dari negara mereka," jelasnya.

Selepas tiga tahun memperjuangkan jenama Sattica, beliau akhirnya berjaya menembusi pasaran pada 2024 apabila sebuah kedai di Rotterdam bersetuju menjadi stokis rasmi pertama di Eropah.

Tampil dengan produk seperti baju, seluar, beg dan aksesori, jenama Sattica kini juga boleh didapati menerusi laman web serta Instagram rasmi sattica.hemp.

"Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan semula produk berasaskan hemp dan membantu menghapuskan stigma negatif terhadapnya," ujarnya yang hanya mengeluarkan 50 kuantiti bagi setiap koleksi.

Sattica hanya mengeluarkan 50 kuantiti bagi setiap koleksi.

Tolak koleksi bermusim

Jelas bekas graduan daripada Universiti Limkokwing itu lagi, sehingga kini LimSattica kekal konsisten dengan hanya memperkenalkan dua koleksi utama sepanjang tahun.

Koleksi pertama, Angkasa Raya, menampilkan pakaian bertemakan hari raya dan konsep resort wear yang lebih ringan dan sesuai untuk iklim tropika.

Manakala koleksi kedua, King Without A Crown, lebih berinspirasikan gaya Eropah dengan penekanan kepada jaket, jumper dan aksesori musim sejuk.

“Sejak awal lagi, saya tidak mahu Sattica dilabelkan sebagai jenama fesyen konvensional.

"Fokus hanya pada penghasilan produk berkualiti dalam tempoh 365 hari tanpa perlu mengikut trend empat musim. Konsep slow fashion ini lebih mampan dan beretika," bualnya yang kini bekerjasama dengan pereka fesyen berpangkalan di Amsterdam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram