
DALAM dunia hiburan, tidak semua anak seni memilih untuk terus beraksi di kaca TV sepanjang kerjaya. Lebih-lebih lagi bagi pelakon wanita yang sudah bergelar isteri dan mempunyai keluarga untuk diuruskan.
Beberapa pelakon wanita popular tempatan misalnya, kini bagaikan mengurangkan aktiviti lakonan demi menjalani kehidupan lebih santai khususnya bersama famili.
Meskipun kurang aktif berlakon, namun mereka masih 'ligat' di media sosial berkongsi rutin kehidupan, tip kecantikan, gaya fesyen dan pengalaman bergelar ibu bersama para pengikut baik di Instagram mahupun TikTok.
Lebih mengagumkan, ada yang mengusahakan perniagaan sendiri dan fokus pada penghijrahan dari segi penampilan.
BACA LAGI: Jadi contoh klinik kecantikan patuh syariah, Dermalene lantik Ustazah Asma' Harun sebagai penasihat
(Dari kiri) Tya, Elfira, Hanis dan Anzalna. — Instagram selebriti
Berikut merupakan 10 pelakon wanita yang mengutamakan kehidupan lebih fleksibel, namun kekal menyuntik inspirasi dengan perkara positif di media sosial:
1. Lisa Surihani
Datin Lisa Surihani kini aktif berkongsi pengalaman dan inspirasi mengenai penghijrahannya.
Isteri kepada komposer dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim itu mula berhijab pada 2019 selepas pulang menunaikan umrah.
Sejak itu, ibu tiga cahaya mata tersebut dari semasa ke semasa berkongsi pengalaman dan cabaran kekal istiqamah dalam penghijrahan melalui pelbagai platform. Bukan itu sahaja, penampilan khas Lisa juga sentiasa dinantikan saban tahun apabila dipilih sebagai duta kempen raya Ariani.
2. Neelofa
Neelofa kini lebih menumpukan dunia perniagaan. Pengasas jenama tudung Naelofar itu bukan sahaja giat dalam bidang perniagaan fesyen, malah turut mengusahakan beberapa bisnes melibatkan produk kecantikan dan kesihatan menerusi Nunha yang dibangunkan bersama suami, Harris Ismail, serta Nilofaplus.
Bertambah menarik, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor juga aktif berkongsi kehidupan hariannya sebagai usahawan, isteri dan ibu kepada dua anak lelaki khususnya tip kecantikan dan keibubapaan.
3. Izara Aishah
Walaupun tetap mendapat tawaran berlakon, Izara Aishah kini lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan bisnes Izara World yang menampilkan pelbagai rekaan jubah.
Bagaimanapun, Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham Izara masih aktif di media sosial berkongsi perkembangan peribadi dan koleksi fesyen di bawah jenamanya.
Menariknya, buat para peminat menantu kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu kembali berlakon selepas enam tahun berehat menerusi drama arahan Erma Fatima yang akan ditayangkan Ramadan tahun ini.
4. Tya Arifin
Seorang lagi menantu Siti Nurhaliza juga pelakon dari negara jiran, Tya Arifin, kini lebih dikenali sebagai pempengaruh yang kerap berkongsikan hal-hal berkaitan kekeluargaan. Tya sering berkongsi aktiviti bersama anak-anak dan mengajar pengikutnya mengenai petua menguruskan keluarga dan penyusuan susu badan.
Pada masa sama, memberi inspirasi kepada para wanita menjaga kecantikan luar dan dalam dengan mengamalkan pemakanan sihat.
5. Elfira Loy
Pelakonyang terkenal dengan watak comel, Elfira Loy aktif di media sosial dengan berkongsi gaya hidup dan perjalanan penghijrahannya. Beliau kini dilihat lebih banyak menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak dan menghadiri majlis-majlis ilmu.
(Dari kiri) Wawa, Erin dan Bella. — Instagram selebriti
6. Hanis Zalikha
Populariti pelakon dan usahawan Hanis Zalikha dalam media sosial boleh dikatakan sentiasa berada dalam carta atas. Apa sahaja perkongsian mengenai keletah anaknya iaitu, Yusuf Iskandar, 9, dan Alisa Aisyah, 6, pantas menarik perhatian.
Tidak hanya itu, Hanis juga berjaya membina kerjaya dalam bidang perniagaan pakaian yang semakin popular iaitu Cakenis. Meskipun sibuk mengurus kehidupan hariannya, isteri kepada pelakon utama filem Paskal: The Movie, Hairul Azreen, membuktikan bahawa beliau ibu dan isteri yang berjaya mengimbangkan antara kerjaya dan keluarga.
7. Anzalna Nasir
Meskipun lama tidak muncul di kaca TV, namun, Anzalna Nasir masih menerima tawaran melibatkan bidang pengiklanan dan menjadi duta produk beberapa jenama terkenal termasuk jenama tekstil terkemuka, Jakel. Dengan personaliti menarik, ceria dan menawan, ibu kepada dua cahaya mata itu juga kerap dijemput menghadiri acara fesyen dan kecantikan serta membintangi iklan komersial.
8. Wawa Zainal
Terkenal menerusi drama Klik di Astro Ceria, Wawa Zainal semakin giat membangunkan perniagaan produk kecantikan, Wawa. Isteri kepada pelakon, Aeril Zafrel itu juga aktif berkongsi kehidupan peribadinya di media sosial, selain tip kecantikan dan fesyen.
9. Erin Malek
Erin Malek yang sudah lama menyepi dari kaca TV kini menjadi pempengaruh fesyen dan kecantikan. Melalui akaun Instagramnya, Erin terus berkomunikasi bersama peminat sambil mempromosikan produk kecantikan.
10. Bella Dally
Popular menerusi drama Qalesya yang dilakonkan bersama Elfira, Bella Dally turut mengambil langkah memperlahankan karier dalam dunia seni.
Bagaimanapun, pesona lembutnya menjadikan Bella sering menjadi pilihan sebagai wajah atau duta dalam beberapa jenama fesyen tempatan seperti Ariani.
Selain itu, Bella kini fokus kepada perniagaan pakaian, Dally yang memasuki tahun kedua.
Walaupun 'meninggalkan' industri lakonan, populariti mereka terus berkembang dalam dunia maya menerusi perkongsian gaya hidup, fesyen, kecantikan dan keluarga.
Semoga perjalanan baharu mereka itu terus menjadi sumber inspirasi kepada ramai wanita di luar sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram