Kulit seolah terbakar, 2 wanita termasuk pesara guru dari Shah Alam terpengaruh produk penjagaan kulit beracun 'online'


  • Relaks
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Berwaspa dalam membeli produk kecantikan pastikan ia diiktiraf dan berkualiti bagi mendapatkan kulit wajah mulus dan sihat. — Gambar hiasan/Freepik

DALAM kepesatan era digitalisasi, keinginan untuk memiliki kulit sempurna boleh menjurus kepada bahaya yang tidak disangka-sangka. 

Dua wanita berkongsi pengalaman ngeri selepas menjadi mangsa produk penjagaan kulit beracun dibeli melalui platform dalam talian yang tidak disahkan.

Bercerita tentang situasi itu, Carmen Lye, berasal dari Kampar, Perak mengalami reaksi alahan teruk selepas menggunakan pencuci muka baharu yang dibeli secara dalam talian. 

BACA LAGI: Terlepas pandang obesiti punca hormon wanita tak stabil selain haid dan jerawat, doktor asal P. Pinang nekad buka klinik estetik di Denai Alam

BACA LAGI: Wajah 5 tahun lebih muda dalam 4 minggu, Ernie Zakri antara terawal oles Epicelline Serum

Beberapa hari selepas penggunaannya, wajah remaja berusia 18 tahun itu dipenuhi ruam dan jerawat.

“Rakan-rakan saya bercakap mengenai satu produk penjagaan kulit yang mereka lihat dalam siaran langsung media sosial. 

"Produk tersebut dikatakan dapat menghilangkan jerawat dan mencerahkan kulit. Baunya juga wangi,” katanya.

Teruja untuk mencuba, Carmen membeli satu set produk berkenaan tanpa menyedari bahaya yang menanti. 

"Saya sangat teruja dan menggunakannya mengikut arahan iaitu mencuci muka, menggunakan toner dan krim pada waktu pagi serta malam," tambahnya.

Semakin ramai wanita terpedaya dengan produk penjagaan kulit yang dijual di media sosial.  — Gambar hiasan

Pada awalnya, kulit beliau kelihatan semakin baik, namun tidak lama kemudian, pipinya mulai gatal, muncul ruam dan rasa seolah-olah terbakar.

Bimbang akan keadaan remaja itu, ibunya segera membawa beliau berjumpa pakar dermatologi.

“Doktor memberitahu bahawa krim yang saya gunakan mengandungi merkuri pada kadar tinggi, iaitu bahan toksik yang boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan. 

"Saya sangat takut kerana tanpa sedar saya telah menyapu merkuri ke wajah. Saya tidak akan membeli produk penjagaan kulit daripada penjual yang tidak disahkan lagi," katanya.

Produk antipenuaan bawa padah

Turut mengalami pengalaman serupa, seorang pesara guru dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, Nelly Shah, apabila produk antipenuaan yang dibeli menyebabkan kulitnya menggelupas teruk.

Tergoda dengan dakwaan produk mampu menghapus kedutan, wanita berumur 56 tahun itu membeli satu set rawatan kecantikan daripada penjual di media sosial.

“Saya menggunakan serum dan krim baharu tersebut setiap malam. Pada mulanya, saya gembira kerana kulit terasa lebih tegang. 

"Namun selepas dua minggu, kulit saya menjadi sangat kering, menggelupas dan terasa panas seperti terbakar,” katanya.

Keadaan yang semakin teruk memaksa Nelly berjumpa doktor. Pemeriksaan mendapati bahawa krim yang digunakannya mengandungi steroid berbahaya, yang menjadi punca reaksi negatif terhadap kulitnya.

Lebih 40 wanita Malaysia mengalami kesan sampingan serius selepas menggunakan produk penjagaan kulit yang dijual di media sosial. — Gambar hiasan

Sebar kesedaran

Kini, Carmen dan Nelly aktif dalam menyebarkan kesedaran kepada pengguna supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membeli sebarang produk.

“Kita sangat mudah terbawa-bawa dalam keseronokan jualan langsung di media sosial. 

"Namun penting untuk melakukan penyelidikan dan memastikan produk yang dibeli benar-benar selamat,” kata Lye.

Nelly dalam pada itu turut menekankan keperluan kawalan lebih ketat dalam penjualan produk dalam talian.

“Kita memerlukan peraturan lebih ketat dan hukuman lebih berat kepada pihak menjual produk yang meragukan,” tegasnya.

Sementara itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan, dalam dua bulan pertama tahun ini sahaja, enam produk penjagaan kulit dan kosmetik telah diharamkan kerana mengandungi bahan beracun seperti merkuri dan steroid pada tahap tidak selamat.

Pada Mac, lebih 40 wanita di Malaysia mengalami kesan sampingan serius selepas menggunakan produk penjagaan kulit yang dijual di media sosial.

Beberapa pengguna juga mendakwa produk itu memberi kesan kepada kehamilan mereka.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa produk berkenaan mengandungi merkuri dan diharamkan di negara ini.

Sebilangan besar mangsa kini telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Pengguna diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan memastikan produk penjagaan kulit yang digunakan mendapat kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko kesihatan yang serius. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram