Enggan berendam air mata, ibu tunggal dua anak bangkit bina Suri, platform jana pendapatan untuk wanita senasib


  • Relaks
  • Isnin, 31 Mac 2025

Kebangkitan dalam diri Sally untuk melangkah lebih jauh menjelaskan orang di luar sana bahawa tragedi yang berlaku bukan sebuah pengakhiran hidupnya.

MENJALANI kehidupan berstatus ibu tunggal bukanlah perkara mudah, apatah lagi perlu memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa secara serentak.

Mungkin secara zahir insan sekeliling memikirkan wanita itu kuat dek senyuman dipamerkan, namun tangisan dan raungan berselirat dalam hati hanya empunya diri tanggung sendirian.

Itulah dialami oleh Pengasas Suri Inspirasi (Suri), Salena Ahmad yang melalui fasa sukar selepas rumah tangga diibina tidak dapat diselamatkan pada 2014.

BACA LAGI: 'Saya lebih bersedia sambut Ramadan kedua berbanding tahun lepas,' petinju MMA, Amber bersyukur ibadah puasa lancar

BACA LAGI: Sonny Bill William anggap isterinya satu rahmat, walau berpuasa mampu urus rumahtangga dan lima anaknya tanpa mengeluh

Mesra disapa Sally, wanita berusia 56 tahun ini sukar untuk menidakkan bahawa keperitan dilalui amat berat dari segi mental, fizikal dan emosi.

Namun, kekuatan untuk bangkit dalam diri demi melangkah lebih jauh jelas menunjukkan bahawa episod duka dialami bukanlah pengakhiran hidup.

Sally terus berjuang menyusun semula kehidupan bersama dua anak lelaki berusia 29 tahun kini sedang melanjutkan pengajian di menara gading dan seorang lagi berusia 13 tahun.

“Saya belajar supaya berhenti berasa kasihan pada diri sendiri dan berlapang dada menerima 'kesakitan'. Sebaik-baiknya fokus ke hadapan untuk terus maju.

“Oleh itu, dalam usaha mengubah nasib, saya tanam dalam diri bahawa saya mampu melakukan apa saja perubahan,” ceritanya kepada Majoriti yang penuh keazaman.

Antara barangan produk kraf rekaan moden dihasilkan menggunakan kain denim yang dikitar semula.

Produk kraf

Berbekalkan sifat enggan berputus asa, beliau menubuhkan Suri iaitu sebuah perusahaan sosial membantu memperkasakan golongan ibu kurang berkemampuan dengan menghasilkan produk buatan tangan menggunakan kain denim dikitar semula.

Perusahaan ditubuhkan pada 2016 itu tercetus ideal selepas Sally berhasrat untuk belajar menjahit. Dari situ, beliau menemui jalan dan arah tuju bagi kehidupan lebih positif

Pun demikian, sebelum menceburkan diri menjadi usahawan sosial, beliau terlebih dahulu mengusahakan perniagaan sendiri.

Bagaimanapun, terpaksa berdepan dengan gelombang pasang surut sehingga bisnes terpaksa ditutup. Pengalaman itu membuatkan beliau berasa putus asa untuk terus bertapak dalam dunia perniagaan.

“Apabila  jatuh at rock bottom, perniagaan terpaksa ditutup, saya hampir berputus asa. Rasa tidak boleh.

"Tetapi dorongan dan kekuatan dalam diri meniupkan semangat untuk saya meneruskan kehidupan demi kebahagiaan anak-anak.

“Motivasi paling besar untuk bangkit adalah anak bongsu,” luah anak kelahiran Klang, Selangor.

Salah satu produk beg yang dijahit menggunakan kain denim.

Lantas, beliau mengorak langkah menghasilkan produk baharu dalam rekaan moden dan terkini menggunakan material denim dikitar semula.

Pada masa sama, perusahaan Suri turut berperanan sebagai platform menyediakan peluang pekerjaan secara sambilan ataupun sepenuh masa dan kemahiran sampingan kepada para ibu tunggal.

Bangkit

Tutur Sally, pengalaman sebagai ibu tunggal selama 11 tahun beliau amat memahami kesulitan wanita senasibnya terutamanya untuk bangkit dan mengumpul kekuatan semula.

“Saya menganggap diri ini bertuah kerana mempunyai beberapa kemahiran ketika menjalankan perniagaan sendiri sebelum ini kerana bukan semua ibu tunggal mempunyai kepakaran sama.

“Ada antara mereka bergelar isteri antara 15 hingga 20 dan tidak pernah bekerja seumur hidup. Selepas bercerai atau kematian suami mereka tercari-cari arah. Saya amat memahami situasi tersebut,” jelasnya.

Berdasarkan pengamatannya juga sebahagian besar wanita hanya bergantung pada bayaran nafkah, sumbangan, dan zakat untuk meneruskan hidup.

Bagaimanapun, beliau gembira melihat sesetengah wanita masih mempunyai semangat dan bersedia mempelajari kemahiran baharu demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup.

Suri bukan saja menyediakan kemahiran menjahit denim dikitar semula menjadi produk baharu, malah menawarkan peluang pekerjaan.

Setakat ini, ibu-ibu tunggal yang bekerja di sini mampu menjana pendapatan purata antara RM700 hingga RM1,000 sebulan.

“Alhamdulillah, selepas sembilan tahun Suri membuka pula Suri Kilim Hub di KILIM Langkawi pada Februari tahun lepas.

“Kini seramai 100 ibu golongan B40, ibu tunggal dan suri rumah telah menjalani latihan di Suri,” terangnya.

Pengalaman bergelar ibu tunggal selama 11 tahun mendorong Sally menyediakan platform Suri bagi membantu wanita senasibnya mendapat semula keyakinan diri.

Sebelum menutup bicara, Sally menitipkan, "Kepada para ibu tunggal di luar sana, kita kena berpijak di bumi yang nyata dan harus bangkit sendiri dari segi mental, fizikal dan emosi. Paling utama buang semua perasaan negatif.

“Insya-ALLAH, kita boleh bangkit sendiri tanpa perlu 'tongkat' daripada sesiapa. Anak-anak adalah sumber kekuatan utama dan DIA sentiasa bersama kita sepanjang masa.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram