
MASIH lagi di dalam suasana Ramadan, rata-rata umat Islam pasti bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menjalani Rukun Islam dan menikmati juadah berbuka puasa yang enak-enak.
Ada yang memilih untuk berbuka di rumah, membeli di bazar atau menikmati bufet yang ditawarkan di hotel.
Akan tetapi pernah anda merasai pengalaman berbuka dalam suasana yang dekat dengan hutan sambil mendengar bunyi unggas serta deruan air sungai mengalir yang begitu menenangkan?
BACA LAGI: [VIDEO] Top 3 menu buka puasa masakan Syamimia suri rumah boleh cuba, tak perlu bersesak ke bazar
Pemandangan langit di tapak perkhemahan menjelang waktu malam.
Jika anda mencari lokasi seperti ini, Skycamp menawarkan pengalaman menarik berbuka puasa dan bersahur berkonsepkan perkhemahan mewah atau popular iaitu glamping.
Di bawah kendalian Skytrek, ia terletak di Sg. Lopo, Hulu Langat, Selangor, tempat perkhemahan ini cukup menarik dan sangat sesuai kepada pencinta alam semulajadi.
Tapak persendirian yang terletak di kawasan berbukit sedikit itu dilengkapkan dengan beberapa khemah dan tempat makan yang santai berdekatan dengan Sungai Congkak.
Tawaran khas semasa bulan Ramadan ini pastinya menjanjikan pengalaman berbuka puasa dan bersahur yang lain daripada yang lain.
Bukan itu sahaja, ia juga membolehkan pengunjung untuk lebih mendekatkan diri pada sang pencipta tanpa gangguan dan lebih tenang.
Di sini, pengunjung ditawarkan dengan dua pakej. Pertama pakej iftar iaitu berbuka, bermalam dan bersahur selama dua hari satu malam. Kedua, anda juga boleh hadir untuk berbuka dan sahur sahaja.
Selain itu, tapak perkhemahan tersebut turut dilengkapi dengan kipas, power bank, beberapa jenis khemah beserta katil untuk anda menikmati keindahan malam di sini.
Terdapat beberapa khemah disedikan untuk pakej bermalam.
Khemah-khemah yang disediakan pula sangat cantik diserikan lagi dengan nyalaan lampu di seluruh tapak perkhemahan.
Amat sesuai untuk anda merakam detik-detik indah sambil muhasabah diri dan mengisi jiwa yang kosong, atau bersama keluarga serta rakan untuk sama-sama merasai keindahan Ramadan.
Menu iftar yang ditawarkan juga tidak kurang hebatnya. Pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai jenis menu antarannya nasi tomato, ayam masak merah, daging kurma, laksa Penang dan kuih muih.
Boleh dikatakan lengkaplah sajian berbuka anda. Bagi menu sahur pula disediakan nasi putih, ayam goreng kunyit, sambal telur dan bihun goreng.
Bayangkan anda menikmati hidangan berbuka dalam suasana malam di kelilingi hutan Hulu Langat, Skycamp menjanjikan suatu pengalaman yang pasti tidak mengecewakan.
Sambil menikmati dingin malam, bunyi cengkerik dan air sungai, lokasi berkenaan sedikit sebanyak dapat menghilangkan kekusutan fikiran ketika bekerja di tengah kesibukan kota semasa bulan puasa ini.
Tidak ketinggalan, selain waktu malam yang diterangi dengan lampu-lampu kecil, unggun api akan dihidupkan sebagai penambah nilai suasana di dalam hutan.
Di samping pengunjung menikmati detik-detik ketenangan, anda akan bermesra dengan petugas-petugas Skycamp dan berkonsi cerita tentang apa sahaja yang mahu dibicarakan.
Usah risau jika hadir bersendirian kerana konsep berbuka yang dibawakan oleh Skycamp adalah terbuka kepada sesiapa sahaja. Pasti anda mendapat kenalan baharu apabila berbuka di sini.
Pengasas Skycamp by Skytrex, Jaslin Puasa atau lebih mesra dipanggil Jas berkata, acara yang diadakan pada bulan puasa itu mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan
“Alhamdulillah, kami menerima tetap menerima pengunjung walaupun program ini hanya diwar-warkan melalui media sosial sahaja.
“Banyak di antara mereka yang datang memang mencari tapak perkhemahan seperti ini berbanding berbuka di dataran atau pun padang kerana mahukan ketenangan. Maklumlah, ada yang tidak mahu berhimpit dan bersesak sambil menikmati juadah berbuka” katanya.
Suasana ketika menunggu waktu berbuka puasa.
Pada masa sama, Jas dan pihak Skycamp turut merancang untuk memperbesarkan lagi aktiviti pada Ramadan yang akan datang. Contohnya, moreh sambil menonton filem secara terbuka menggunakan pancaran skrin projektor, selain ibadah tarawih.
“Ya, memang sudah dalam perancangan Skycamp untuk memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti di bulan puasa dimana saya mahu pengunjung rasa berbaloi dan ingat tempat ini setiap kali Ramadan tiba,” ujarnya.
Disamping itu, Jas amat mengalu-alukan kehadiran mereka yang tidak pernah mencuba berbuka di tapak perkhemahan dan inginkan pengalaman berbuka puasa di Skycamp kerana keseronokannya amat sukar diluahkan dengan kata-kata.
“Hanya orang yang sudah cuba sahaja tahu betapa seronoknya berbuka di sini. Susah untuk diceritakan, namun perasaan tenang itu begitu bermakna. Mereka yang sudah alaminya saja yang akan faham,” ujarnya.
Khemah untuk pengunjung bersantai selepas berbuka.
Pada masa sama, lokasi yang berpotensi berkembang itu mampu mengubah pemikiran masyarakat untuk melihat suatu kelainan yang jarang dibuat pada bulan Ramadan.
“Harapan saya, sudah semestinya mahu orang ramai melihat secara meluas dan lebih terbuka acara yang dianjurkan ini. Jangan sesekali hadkan aktiviti anda di bulan puasa.
“Berani untuk mencuba sesuatu kelainan ini akan memberi kepuasan pada diri. Anda akan rasa masa berlalu lebih pantas di sini berbanding berbuka di rumah,” tambahnya.
Oleh itu, buatlah perancangan awal bersama rakan-rakan serta keluarga anda untuk Ramadan yang akan datang kerana acara berbuka di Skycamp itu pasti akan kembali lagi. Ia akan menjadi program wajib setiap kali bulan tibanya Ramadan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram