Demi masa depan, enggan anak-anak Orang Asli tercicir, Amira buka Tadika Komuniti Bantuan percuma, ajar kemahiran asas


  • Relaks
  • Rabu, 19 Mac 2025

Kepentingan usaha yang diketengahkan olehnya dalam memperkasakan Orang asli dalam pendidikan, Kampung Betau, Pahang.

SISTEM pendidikan terbaik dan konsisten bukan sahaja melahirkan modal insan berkualiti, malah menyuntik kejayaan masa depan negara.

Berikutan itu. kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan pihak persendirian sentiasa komited dan proaktif menyediakan akses pendidikan dalam pelbagai platform demi melahirkan masyarakat berilmu.

Begitu juga dengan masyarakat Orang Asli yang tidak terkecuali mendapat akses pendidikan walaupun sebahagian besar tinggal di kawasan pedalaman.

BACA LAGI: Pengalaman 32 tahun dalam PDRM, dorong Jennifer, NGO OSTPC tangani isu remaja hamil di Sarawak

BACA LAGI: Kreativiti wanita luar bandar di Sabah, ubah sekam jagung jadi bunga hiasan, hasilnya wow!

Justeru, menyedari akan kepentingan pendidikan dalam membina masa depan yang sejahtera, wanita Orang Asli, Amira Yoke Bes menubuhkan Tadika Komuniti Bantuan (KBP).

Tadika berkenaan khusus buat kanak-kanak masyarakat etnik berkenaan di kawasan pedalaman berusia antara 5 hingga 7 tahun mendapat kemahiran asas dan pendidikan awal seperti membaca dan menulis.

Amira (dua dari kiri) memakai tepok (perhiasan kepala Orang Asli) bersama barisan pemenang anugerah sempena Hari Wanita Sedunia.

“Penubuhan tadika ini bertujuan untuk memastikan mereka (kanak-kanak Orang Asli) tidak tercicir daripada sistem pendidikan terutamanya di Pahang.

“Modul pembelajaran diketengahkan lebih kurang sama seperti tadika-tadika lain antaranya mengenal abjad dan nombor seperti huruf A,B,C dan 1,2,3. Setiap sesi dijalankan dua jam sahaja," kata penerima Anugerah Kasih Wanita Komuniti sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anugerah tersebut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pembelajaran mengenal huruf dan nombor menjadi penekanan terhadap permulaan pendidikan kanak-kanak Orang Asli.

Tiada caj

Bicara Amira, selain kanak-kanak KBP turut melatih masyarakat Orang Asli yang bercita-cita menjadi guru melalui kursus-kursus dikendalikan.

Menariknya, pembelajaran dilaksanakan baik oleh beliau mahupun para guru lain sedikitpun tidak mengenakan sebarang syarat dan caj bayaran kemasukan.

“Misi utama saya adalah untuk membuka minda dan menarik minat anak-anak dan ibu bapa mendekatkan diri dengan bidang pendidikan.

"Pada awalnya sukar apabila perlu beroperasi tanpa sebarang caj kos, namun demi tanggungjawab sosial memastikan setiap lapisan masyarakat di Malaysia mendapat pendidikan terbaik, maka saya teruskan juga.

"Boleh dikatakan rata-rata murid yang mendapat pendidikan di tadika ini berjaya menyambung pelajaran sekolah rendah," ujarnya lanjut.

Amira menyifatkan bahawa KBP merupakan inisiatif yang tidak sia-sia, "Sehingga kini, kami berjaya mendidik seramai 30 murid Orang Asli di sekitar Kampung Betau, Pahang.

"Mungkin jumlahnya masih rendah, tetapi saya yakin usaha ini tidak akan terhenti separuh jalan."

Selain itu, wanita berwawasan tinggi itu juga yakin pengorbanan disumbangkan kepada komuniti akan meningkatkan jumlah pelajar dalam kalangan Orang Asli.

Secara tidak langsung, membina masa depan yang cerah dan meningkatkan bilangan pekerja Orang Asli dalam industri pekerjaan.

Amira menerima Anugerah Kasih Wanita Komuniti sempena Hari Wanita Sedunia yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persepsi

Mengulas lanjut, Amira berharap dengan adanya pendidikan secara tidak langsung dapat menepis persepsi masyarakat yang beranggapan komuniti Orang Asli kelompok tidak berdaya saing, tiada usaha dan hidup nomad.

Pada masa sama, bantu menurunkan kadar peratusan kanak-kanak Orang Asli tercicir dalam pelajaran.

Kini pelbagai program pendidikan membantu masyarakat Orang Asli proaktif dilaksanakan.

Antaranya projek Sekulah Bateq anjuran Yayasan RHYHM dan Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY) yang bekerjasama memberi sokongan akademik kepada masyarakat Orang Ali Kuala Atok di Pahang.

"Saya amat berharap pihak kerajaan terus memberi fokus dan melihat perkembangan pendidikan dalam komuniti Orang Asli,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,Instagram dan Telegram