
BARU-BARU ini, tular sebuah video yang dimuat naik oleh pasangan selebriti terkenal Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, yang memaparkan kelancaran anaknya Muhammad Bilal membaca surah Al-Fatihah menjadi perhatian.
Rata-rata warga maya senang melihat kebijaksanaan Bilal itu dan memuji cara didikan pasangan tersebut.
Video berdurasi 45 saat di akaun Tik Tok @seorangnur itu dipenuhi dengan ruangan komen daripada peminat yang meluahkan rasa gembira dan terharu dengan bacaan bilal.
“Masya Allah, pandainya Abang Bilal tengok sebelum ini pun, Lofa guna Al Quran Al Multazam, Karya Bestari tapi yang ada terjemahan. Ini lebih besar sikit sebab tak ada terjemahan,” kata seorang pengikut di ruangan komen.
Tangkap layar di akaun Tik Tok Neelofa sambil mendengarkan Bilal membaca Al-Fatihah.
“Sebutan/Makhraj Bilal itu macam umur dah 9 atau 10 tahun. Bagus mak ayah didik dari kecik. Jadi anak soleh ya Bilal dan Abbas,” komen seorang lagi.
Surah Al-Fatihah merupakan ayat suci Al-Quran merupakan surah pertama di dalam Al-Quran yang turut dikenali sebagai surah pembukaan.
Dikongsikan oleh Ustaz Ibnu Abdil Barry Ubaidillah atau dikenali sebagai Ustaz Barry bahawa ganjaran mengajar anak membaca dan menghafal surah itu besar fadhilatnya berkekalan.
“Perkara yang penting di antara yang terpenting yang sering saya nasihatkan adalah mengajar kepada anak-anak kita surah Al-Fatihah.
“Jangan biarkan orang lain yang ajar, biar diri kita (ibu,bapa, penjaga). Kita ajarkan mereka surah yang akan menjadi bekalan seumur hidup menjadi teman, bacaan dan hafalannya. Maka ia adalah pahala yang akan sentiasa mengalir kepada kita.
Walaupun pada dasarnya, sesetengah daripada kita mungkin tidak sempurna tajwid dan hukum hakamnya, perkara tersebut bukanlah satu halangan buat ibu bapa di luar sana untuk mengajar anak-anak surah berkenaan.
“Tidak mengapa jika tajwid kita masih ada yang tidak cantik atau kurang. Biar nanti selepas mereka hafal, ustaz lain yang akan mengajar mereka bagaimana hukum hakam tajwid yang lebih sempurna.
“Tapi asas untuk menghafalkan surah Al-Fatihah adalah daripada kita (ibu, bapa, penjaga). Ini merupakan bekal kita di akhirat nanti. Biar anak dan cucu kita tahu hafalan surah tersebut kerana kita yang ajarkan mereka,” jelasnya menerusi sebuah video.
PU Riz dan Neelofa bersama dua orang anak lelakinya.
Hal tersebut juga mampu menjadi pendorong dalam membina ikatan rohani dalam hubungan yang mendalam antara ibu bapa dan anak-anak. Mereka akan merasakan bahawa ibu bapa adalah pembimbing utama mereka.
Ini termasuk pengaruh ibu bapa itu sendiri yang berperanan dalam mengajar didikan agama dan menjadikan rumah sebagai tempat pendidikan agama yang utama.
Terdahulu, Neelofa mendirikan rumah tangga bersama PU Riz atau nama penuhnya pada 27 Mac 2021 dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal, 4 dan Abdullah Abbas, 2.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram