
PERAYAAN Hari Raya Aidilfitri merupakan antara perayaan terbesar di Malaysia dan rata-rata umat Islam pastinya merancang cuti dan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Kebiasaanya persiapan dibuat seminggu sebelum menjelangnya hari raya. Jadi sesibuk mana pun ambil kesempatan untuk bersiap lebih awal supaya dapat pulang ke kampung dengan senang hati.
Majoriti berkongsi lima persiapan mudah buat mereka hendak pulang beraya bersama seisi keluarga.
BACA LAGI: Barisan model Nala peraga koleksi raya sambil 'catwalk' di atas jambatan Silverlakes, Perak
Servis kereta
Pastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik terutamanya seminggu sebelum pulang ke kampung.
Perlu ingat setiap tahun kebanyakan bengkel kereta akan tutup semasa hari raya.
Pertama minyak pelincir (hitam) yang harus diperiksa dan ditukar dengan segera jika sudah lama termasuk minyak gear dan cecair penyejuk.
Kandungan ketiga-ketiga bahan tersebut di dalam enjin amat penting untuk dikenal pasti sekiranya berada di paras rendah, ia boleh memberikan kesan rosak yang teruk terhadap enjin kereta.
Lain-lain bahagian penting perlu diambil kira ialah bunga tayar, lampu depan, signal, brek dan undur berfungsi dengan baik,
Jangan sesekali ambil mudah tentang perkara berkaitan kereta. Kita tidak mahu terjadi apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku seperti tayar meletup atau enjin berasap ketika pulang ke kampung nanti.
Sebelum keluar rumah pastikan semua pintu dan tingkap berkunci dan berada dalam keadaan selamat. — Gambar hiasan
Periksa pili air, elektrik
Tenggelam dalam rasa keterujaan ingin pulang beraya perlu dikawal supaya kita bersedia meninggalkan rumah dalam tempoh yang agak lama.
Sebelum keluar rumah, pastikan periksa seluruh kawasan berada dalam keadaan baik.
Pastikan semua pili air dan suis elektrik dimatikan supaya tidak berlaku sebarang pembaziran. Kosongkan pasu atau bekas yang boleh menyebabkan air bertakung bagi mengelakkan sebarang pembiakan nyamuk aedes.
Kunci semua pintu dan tingkap di rumah dengan teiliti. Gunakan rantai atau mangga jika perlu dan lebih baik lagi jika dipasangkan sistem, penggera keselamatan di rumah.
Kad prabayar dapat memudah perjalanan anda untuk membayar tol.
Kad prabayar
Pengisian semula kad prabayar untuk membayar tol, tempat letak kenderaan dan seumpamanya antara perkara sering kita lupa atau tertangguh.
Apa salahnya jika tambah nilai lebih awal dan lebihkan jumlah nilainya daripada sebelum ini.
Perlu diingatkan kaedah pembayaran kad amat bermanfaat, selain menggunakan kod imbasan. Malah kad tersebut kini sudah boleh ditambah nilai menggunakan telefon pintar.
Benar, tol utama menyediakan bahagian untuk menambah nilai kad tersebut tetapi beberapa lorong sahaja. Jika boleh elak menggunakan lorong tersebut untuk menambah nilai, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Bawa bekalan makanan sekiranya untuk berbuka puasa di dalam kenderaan tidak sempat singgah di mana-mana R&R terdekat atau tersekat kesesakan jalan raya. — Gambar hiasan/Freepik
Bekalan makanan minuman
Setiap tahun kesesakan lalu lintas memang tidak dapat dielakkan apabila menjelang hari raya. Sehinggakan pengguna lebuh raya tidak dapat menjangkakan berapa lama masa diambil untuk sampai ke kampung.
Amalkan membawa bekalan makan dan minuman sampingan semasa perjalanan. Ini kerana jika 'tersangkut' di atas jalan raya anda boleh berbuka puasa sementara tiba di kawasan Rawat dan Rehat (R&R).
Berpesan-pesanlah kepada jiran tetangga sebelum pulang beraya.
Berpesan kepada jiran tetangga
Akhir sekali berpesan-pesanlah kepada jiran tetangga sebelum bergerak pulang ke kampung.
Ia sebuah amalan mulia di sisi agama dan amat disarankan supaya dapat membantu memerhatikan rumah sepanjang ketiadaan anda.
Suka untuk diingatkan, ada beberapa kes pecah rumah direkod berlaku tanpa disedari sedangkan kawasan perumahan masih terdapat jiran-jiran yang tidak pulang bercuti.
Maka, itulah pentingnya komunikasi dan hubungan baik antara jiran tetangga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram