
JIKA diperhatikan zaman sekarang muncul trend sebahagian besar individu yang pulang beraya di kampung halaman, tetapi lebih selesa bermalam di hotel berhampiran.
Sesetengah menyifatkan tindakan itu terpaksa dilakukan kerana ruang rumah begitu padat dan bilik kurang mencukupi untuk menampung jumlah anak dan cucu-cicit yang pulang ke kampung.
Persoalannya, adakah tindakan sedemikian dianggap tidak beradab dan adakah ia mengguris hati insan tersayang terutamanya ibu dan ayah?
BACA LAGI: Barisan model Nala peraga koleksi raya sambil 'catwalk' di atas jambatan Silverlakes, Perak
Menurut Penceramah Bebas, Ustaz Wadi Annuar, menerusi sebuah hantaran video di Instagramnya menerangkan secara ringkas bahawa perkara tersebut telah dibahaskan oleh para ilmuan.
Menjadi persoalan, apakah alasan untuk seseorang tidur di hotel atau sewa di inap desa ketika pulang beraya? Ustaz Wadi berkongsi satu kronologi dalam video tersebut.
“Ustaz, rumah kampung dua bilik kami tujuh beradik semua ada keluarga, memang tak muat. Maka kami sewa homestay berdekatan. Kemudian kami akan mai (datang) rumah (beraya),” beliau membaca soalan yang diajukan seorang individu.
Menurut beliau, tindakan tersebut dibenarkan dan diterima baik, namun terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian.
“Jangan pula datang ketika hendak makan saja, semua datang berpakaian cantik-cantik, tapi datang untuk makan saja.
“Datanglah awal untuk silaturahim sambil menjaga batas-batas syariat. Tolong masak, mengemas dan sebagainya.
“Lepas itu waktu lain juga kena datang. Dalam satu atau dua jam hadir duduk bersama dengan keluarga dan saudara-mara. Maka perkara itu tidak menjadi masalah untuk sewa di rumah,” pesan Ustaz Wadi.
Ustaz Wadi
Mengulas lanjut, Ustaz Wadi turut menyarankan agar tidak melakukan perkara tidak sepatutnya, misalnya pulang beraya di kampung yang memiliki bilik cukup, ruang luas, tapi tetap mahu bermalam di luar.
“Macam ini memang pelik kalau balik kampung tak tidur di rumah. Namun, ada yang bagi alasan menjaga batas daripada berlaku pergaulan bebas yang terlalu terbuka, menjaga aurat keluarga dan sebagainya, itu tidak menjadi masalah.
"Tetapi, adalah lebih elok kalau kita maklumkan kepada mak ayah dahulu,” terangnya.
Hal tersebut mungkin berlaku pada sesetengah keluarga. Bahkan, terdapat ipar duai terpaksa tidur di ruang tamu dan itu membuatkan keadaan tidak selesa.
“Jadi memang wajib seorang ketua keluarga menjaga maruah dan kehormatan serta kesalahan agama yang dilakukan oleh ahli keluarga,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram