Perpustakaan komuniti di JB tumpuan keluarga dan kanak-kanak, hidupkan amalan derma buku


  • Relaks
  • Rabu, 26 Mac 2025

Yuliana (kiri) bersama Najwa yang mendermakan koleksi buku-buku lamanya.

SIAPA sangka sebuah perpustakaan komuniti terletak di dalam Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, jelas menunjukkan koleksi buku lama juga mempunyai nilainya tersendiri.

Cawangan Perpustakaan Sultan Ismail (PSI) Kampung Melayu Majidee kendalian Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baru-baru ini menganjurkan program pertukaran buku dua kali sebulan.

Pembantu pustakawan MBJB, Yuliana Sirkam, berkata program diperkenalkan pada Oktober lalu itu menekankan bahawa penderma tidak diwajibkan untuk mengambil buku sebagai balasan.

BACA LAGI: Balik raya di kampung tapi tidur di hotel. Berikut penjelasan Ustaz Wadi, jangan ambil ringan beberapa perkara

BACA LAGI: Barisan model Nala peraga koleksi raya sambil 'catwalk' di atas jambatan Silverlakes, Perak

Inisiatif tersebut secara tidak langsung berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang termasuk pelajar, profesional dan pesara.

Sebahagian daripada mereka menghabiskan masa berjam-jam meneliti himpunan buku terdapat di cawangan tersebut.

“Sumbangan tunggal terbesar setakat ini adalah sebanyak 300 buku.

“Cawangan ini kini mempunyai kira-kira 40,000 buku.

“Berikutan komuniti membaca semakin berkembang, kami menggalakkan lebih ramai orang untuk menderma koleksi buku ataupun mereka boleh singgah meluangkan masa membaca di perpustakaan.

“Siapa tahu, mereka mungkin akan menemui bahan bacaan yang bagus,” katanya.

Selain itu, ia juga menjadi platform jaringan berkongsi buku dengan komuniti lebih luas dan bukan sekadar tempat menyimpan buku semata-mata.

“Kami menerima semua jenis buku, termasuk fiksyen, bukan fiksyen, buku akademik dan kanak-kanak serta tajuk dalam pelbagai bahasa.

“Beberapa penderma juga telah menyumbangkan buku baharu,” katanya.

Program yang diadakan setiap bulan di perpustakaan itu membuka peluang kepada pengunjung untuk mengakses lebih banyak pilihan buku.

Malahan, ia juga diadakan setiap bulan di lokasi terpilih di luar perpustakaan bersempena dengan acara komuniti.

Salah satu Cawangan Perpustakaan Sultan Ismail (PSI) dikendalikan MBJB.

Suri rumah, Sammi Wong, 44, dari Masai, memaklumkan beliau mengetahui tentang program tersebut dan memutuskan untuk membawa anak perempuannya berusia empat tahun ke perpustakaan berkenaan.

“Kami memandu kira-kira 20 kilometer (km) ke perpustakaan komuniti kerana anak saya ingin menyumbangkan beberapa buku.

“Selepas itu, dia turut membawa pulang beberapa koleksi buku genre kraf dan masakan.

“Ia adalah cara yang ideal menghabiskan masa hujung minggu kami dan berharap lebih banyak program seumpama ini dilaksanakan. Secara tidak langsung dapat mendedahkan buku-buku kepada kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Adam Low, 43, memuji mengenai program tersebut kerana membantu memanjangkan hayat sesebuat buku.

“Ia membantu melahirkan lebih ramai komuniti membaca,” kata pemilik kedai hobi yang telah menyumbang lima buku pada lawatan pertamanya ke perpustakaan berkenaan.

Low kemudian memilih beberapa buku fiksyen sains daripada koleksi perpustakaan tersebut.

“Saya juga menikmati suasana di sini kerana terdapat tempat duduk yang selesa untuk membaca buku,” tambahnya.

Pesara, Najwa Mohd Ayub, 61, memutuskan untuk mendermakan buku agama dan sejarah.

“Saya harap buku lama ini mendapat 'kehidupan' kedua dan dihargai oleh orang lain.

“Saya akan menyusun lebih banyak buku di rumah dan dermakannya tidak lama lagi,” kongsinya.

Cawangan PSI Kampung Melayu Majidee terletak di No.11, Jalan Aman, Kampung Melayu Majidee.

Mereka yang berminat boleh melayari halaman Facebook PSI di www.facebook.com/psimbjb atau hubungi 07-239 1795 untuk sesi pertukaran buku yang akan datang.  — TheStar/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram