
AKTIVITI mendaki kini semakin mendapat perhatian ramai terutama golongan muda yang gemarkan kegiatan luar dan alam semula jadi. Tidak kurang hebatnya bagi mereka yang sudah berusia, apabila terdapat kumpulan-kumpulan ‘otai’ yang bersama-sama dalam melakukan riadah untuk menyihatkan badan.
Bagi mereka yang sudah biasa mendaki, pastinya anda tahu kebiasaannya satu atau dua individu yang akan mengetuai sesebuah ekspedisi pendakian.
Mereka itulah digelar Malim Gunung Perhutanan (MGP), orangnya berstamina tinggi dan pakar dalam selok-belok hutan. Sebut saja MGP, jangan sesekali ingat jawatan tersebut hanya tertumpu kepada kaum lelaki.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Panggil semua pemain keluar', apa Aleksandar Cvetkovic buat bikin fans Sri Pahang terharu
BACA LAGI: Lenjan KDN 7 gol tanpa balas, fans samakan Perak persis Liverpool
Norimah Abd Karim, adalah MGP wanita yang sudah lebih 20 tahun terlibat dalam dunia pendakian. Mesra di sapa Eima, dia menjelaskan MGP bertindak sebagai juru pandu arah bagi pendaki di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Tugas MGP
Wanita berusia 49 tahun ini begitu berpengalaman sebagai first responder sekiranya berlaku kecemasan semasa aktiviti pendakian dan membantu Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Selangor khususnya dalam pengurusan serta pelaksanaan aktiviti pendakian supaya lebih teratur dan selamat.
Secara tidak langsung, buat mereka yang memiliki lesen MGP secara automatik telah menjadi dirinya sebagai duta kecil Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
“Selain memaklumkan apa yang boleh dan tidak boleh ketika di dalam hutan, MGP juga individu yang bertanggungjawab untuk memastikan sekiranya ada pendaki yang cedera mendapat rawatan awal.
“Ini bertujuan untuk mengelak kecederaan yang dialami pendaki menjadi semakin parah sehingga bolah mengancam nyawa dan menjadikan keadaan bertambah sukar.
“Bahkan, kami adalah pasukan sokongan kepada pasukan penyelamat dalam sebarang aktiviti mencari dan menyelamat (SAR). Tugasan ini bukan mudah ya, namun dengan adanya bantuan MGP yang lebih kerap berada di lapangan, sedikit sebanyak akan menjadikan kerja-kerja pencarian lebih mudah,” katanya.
MGP perlu mahir selok belok perhutanan dan mengenal pasti tanda arah atau tanda laluan supaya pendakian dapat melaluinya dengan lancar.
Tidak dinafikan hutan di Malaysia mempunyai hasil yang unik dan ada sesetengahnya tidak boleh didapati di tempat lain. Maka, MGP turut bertindak sebagai mata-mata bagi menghalang pendaki yang berniat untuk memetik atau membawa pulang hasil tumbuhan yang dilarang oleh HSK.
Pengalaman mendaki gunung menjadi satu perkara penting. Ia perlu memiliki kemahiran navigasi, seperti mengenal pasti tanda arah atau tanda laluan pendakian.
“Pengalaman mendaki akan membantu MGP memahami risiko dan cara mengurus situasi kecemasan di kawasan hutan dan gunung.
“Namun, pengalaman sahaja tidak mencukupi. MGP juga perlu menjalani latihan formal yang disediakan oleh JPSM untuk melengkapkan diri dengan kemahiran seperti penyelamatan dan pengurusan risiko.
MGP perlu menjalani latihan formal yang dirangka JPSM untuk melengkapkan diri dengan kemahiran asas selain berpengalaman mendaki gunung atau bukit.
Kriteria MGP
Kriteria untuk mendapatkan lesen MGP tidak semudah seperti anda menyertai kumpulan pendakian yang lain. Bagi mereka yang berminat, anda perlu menghadiri dan lulus Kursus Malim Gunung Perhutanan yang dianjurkan oleh JPSM.
“Kemudian memiliki kemahiran asas seperti navigasi, penyelamatan, dan pengetahuan tentang flora dan fauna. Dari segi fizikal sudah tentulah memerlukan ciri-ciri seperti daya tahan, daya juang, kecerdasan sosial, dan kemampuan mengurus risiko,” ujarnya yang sudah mendaki lebih kurang 30 gunung dan 20 bukit di Malaysia.
Antara ahli Persatuan Malim Gunung Perhutanan negeri Selangor.
Melakukan latihan fizikal secara berkala seperti berjoging, berjalan jauh dengan membawa beban untuk menyesuaikan diri dengan aktiviti pendakian, pemakanan seimbang yang kaya dengan protein dan beberapa perkara asas, semuanya pelu dijaga kerana ia mempengaruhi stamina dan prestasi seorang MGP.
“Kita perlu ingat, MGP bukan sekadar bawa diri. Kami bawa pendaki, moral dan lain-lain untuk memastikan mereka yang yang terlibat selamat sampai ke puncak. Kalau kita pun ‘koyak’ macam mana nak bawa orang naik atas gunung,” katanya sambil tersenyum.
Eima sedang memastikan pendaki yang kurang pengalaman selamat menuruni bukit supaya tiada kecederaan berlaku.
Cabaran
Antara cabaran utama sebagai MGP termasuk menghadapi risiko kemalangan atau kecederaan semasa aktiviti pendakian. Ini termasuk mengurus situasi kecemasan seperti pendaki yang sesat atau menghadapi cuaca buruk.
“Kita juga perlu kenal pasti mereka yang kurang berpengalaman dalam aktiviti mendaki ini. Perlu pastikan keselamatan dan sentiasa ingatkan mereka beberapa teknik untuk mendaki. Kita tak mahu kakinya tersalah pijak atau mendarat di atas permukaan tanah yang boleh menyebabkan kakinya terseliuh,” terangnya.
Menurut pengalaman Eima, Gunung Tahan, Pahang antara gunung paling mencabar di Semenanjung Malaysia kerana jarak pendakiannya jauh, keadaan trek yang sukar, cuaca yang tidak menentu dan terpaksa mengharungi sungai yang banyak dan luas sekiranya melalui pendakian dari Merapoh ke Kuala Tahan.
Gunung Kinabalu di Sabah pula dianggap tidak setinggi gunung-gunung di luar negara namun tetap mencabar kerana ketinggiannya dan risiko Acute mountain sickness (AMS).
Aktiviti mendaki gunung atau bukit semakin mendapat perhatian golongan muda untuk menikmat alam semula jadi.
Terkini, Eima aktif menyertai lebih banyak kursus lanjutan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang penyelamatan dan pengurusan risiko sebagai MGK sambil menjelajah lebih banyak gunung dalam dan luar negara.
Dia berharap dapat memperbanyakkan lagi melatih pendaki-pendaki yang baharu dan ingin menceburi bidang pendakian supaya lebih faham erti sebenar akitviti tersebut yang bukannya sekadar mengikut trend semata-mata.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram