Real XPDC kini tinggal sejarah, trio Afiq Bruno bersama Nizam Jentik-Jentik, Wan Gegau harap tuah ‘Teka Teki Raya’


  • Hiburan
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Gandingan Afiq Bruno (kanan), Wan Gegau (tengah) dan Nizam Jentik-Jentik (kiri) tuai sebuah lagu raya berjudul 'Teka Teki Raya'.

USAI meninggalkan kumpulan Real XPDC, bekas vokalisnya, Afiq Bruno, 29, kini membawa haluan sendiri sebagai artis solo di bawah naungan syarikatnya sendiri, Afiq Bruno Music Records (ABM Records).

Biarpun baru berjinak-jinak dalam industri muzik tanah air secara solo, pelantun suara berimej rambut panjang itu berjaya membuktikan dirinya mampu bersaing di samping lambakan penyanyi baharu ketika ini.

Terbaharu, Afiq dilihat baru saja selesai menerbitkan sebuah lagu raya Aidilfitri berjudul Teka Teki Raya.

BACA LAGI: Tak jadi single kedua Real XPDC, lagu SETIA jadi taruhan baharu Afiq Bruno bersama XTNT

BACA LAGI: Selain melawak, Wan Gegau juga berbakat cipta lagu, serlah jiwa rock bersama Silverchain Band yang 'belum siap'

Lebih menarik, lagu tersebut dihasilkan bersama gandingan trio pelawak iaitu Wan Gegau, 37, atau nama sebenarnya, Mohd Saffuan Samsudin dan Nizam Jentik-Jentik, 43, (Mohd Nornizam Mohd Yusof).

Biarpun bukan dari latar belakang pemuzik, langkah berani diambil Afiq dalam mencipta lagu bersama kedua pelawak popular itu nyata diterima pendengar di platform sosial.

Bersahaja dalam menyampaikan nyanyian, elemen teka-teki menjadi antara keunikan karya terbaharu Aidilfitri tersebut.

Terkenal dengan bakat melawak di pentas persembahan, Nizam Jentik-Jentik mencuit hati penonton menerusi beberapa soalan teka-teki yang lantas membuatkan pendengar tidak kering gusi tertawa.

Ditambah dengan seloka raya Wan Gegau dan kelunakan suara Afiq, menjadikan Teka Teki Raya antara lagu Syawal terbaik tercipta pada tahun ini.

Berkongsi lanjut tentang pemilihan kedua pelawak itu sebagai rakan duet, Afiq menjelaskan ia terjadi tanpa dirancang kerana lagu itu asalnya dicipta untuk karier solonya.

"Lagu ni asalnya saya buat untuk single sendiri tapi bila jumpa Wan Gegau, kita rancang untuk jadikan ia sebagai lagu kumpulan.

"Wan Gegau dengan saya asalnya rakan sekampung di Masjid Tanah, Melaka, jadi kami memang dah lama kenal dan berkawan rapat, bila dia cadangkan Nizam Jentik-Jentik saya pun setuju untuk nyanyikan lagu ini bersama.

"Nizam Jentik-Jentik ni memang identiti dia dikenali dengan teka-teki, jadi itulah dia terciptanya Teka Teki Raya," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Afiq juga pernah melancarkan sebuah lagu berjudul SETIA menerusi sebuah kumpulan ditubuhkan digelar XTNT.

Membuka lebaran baharu dalam industri, sebuah kumpulan muzik dikenali sebagai Silverchain Band telah menandatangani kontrak di bawah naungan syarikat ABM Records dan dijangka akan menerbitkan album baharu dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram