Belum mahir masakan Melayu, Angeline Tan hidang menu dim sum, mi wantan khas buat Sabri Yunus sefamili di pagi Syawal


  • Hiburan
  • Isnin, 31 Mac 2025

Angeline Tan kini bahagia di samping suami tercinta.

TAHUN kedua menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga baharu, pelakon versatil Angeline Tan, 57, nyata teruja meraikan di samping suami tercinta.

Akui masih dalam proses mendalami ilmu agama, bintang filem KL Gangster itu menganggap sambutan tahun ini lebih bermakna kerana sudah mula memahami budaya dan adat Melayu khususnya di bulan Syawal.

Pun begitu, Angeline masih belum menguasai sepenuhnya menu Aidifitri kerana masih sedang belajar masakan kegemaran suaminya, Sabri Yunus, 63.

BACA LAGI: Khir Rahman asalnya vokalis Iklim, pernah tuai album solo sebelum sertai 'Rimba Bara'

BACA LAGI: Pernah kena 'reject' stesen radio, 'Bila Rindu' Ruffedge rupanya cetusan idea Azan Addin sambut bayi sulung

Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua Angeline (kanan) menyambut bersama suami tercinta.

Tidak tertumpu pada hidangan Melayu sahaja, Angeline sebaliknya lebih terbuka untuk menghidangkan makanan tradisi masyarakat Cina antaranya dim sum, mi wantan dan pelbagai lagi.

"Bulan Ramadan ni saya dah mula masak hidangan Cina sebagai juadah berbuka puasa, jadi ia juga akan dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Saya buat hidangan berbeza sikit daripada yang biasa abang (Sabri Yunus) makan, saya buatkan mi wantan, taucu ikan, dim sum ayam.

"Tapi hidangan tradisi Melayu macam ayam rendang dan ketupat mesti ada juga, anak abang jadi cef di rumah, saya tolong sama-sama masak," katanya kepada Majoriti.

 

 

Dalam pada itu, Angeline turut meluahkan keterujaannya dalam menyambut Aidilfitri kali kedua bersama keluarga baharu.

Jelasnya, sambutan tahun ini lebih menarik kerana telah banyak belajar daripada pengalaman tahun lalu dan semestinya satu perkara dinanti-nantikan.

"Saya rasa setiap tahun sambutan raya mesti teruja, tapi tahun ni berbeza sebab suasana dan tetamu berbeza kali ini, jadi itu semua membuatkan Aidilfitri ini meriah.

"Saya tak rancang untuk buat rumah terbuka tapi sentiasa mengalu-alukan kedatangan tetamu ataupun peminat," tambahnya.

Akui dirinya semakin kurang muncul di layar perak, Angeline menjelaskan dia kini lebih kerap menerima undangan ceramah ataupun perkongsian pengalaman mengenai penghijrahannya sebagai mualaf.

Namun, dunia seni sama sekali tidak akan pernah pudar dan sentiasa terbuka untuk sebarang tawaran berlakon yang sesuai dengan status wanita berhijab.

Terdahulu, pasangan pelakon sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu selamat mendirikan rumah tangga pada 14 Oktober 2023.

Dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza, Sabri menyerahkan mas kahwin berupa seutas rantai emas dalam sebuah majlis pernikahan tertutup diadakan di ibu negara.

Sabri sebelum ini kehilangan isteri Norraya Mohd Yusuf yang meninggal dunia pada 2007 akibat kanser.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata sementara Angeline pula memiliki dua anak hasil daripada perkahwinan terdahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram